Pepatah "Berani Kerana Benar" dan "Takut Kerana Salah" adalah pepatah yang popular di kalangan masyarakat Melayu. Ertinya, jika kita tidak melakukan sebarang kesalahan kita tidak perlu takut untuk berdepan dengan sesiapa sahaja, begitulah sebaliknya jika kita telah melakukan kesalahan sudah pasti kita sendiri merasa takut untuk berdepan dengan orang lain bahkan takut kepada bayang-bayang sendiri.
Di Tanah Rancangan Felda, pepatah ini mungkin difahami oleh majoriti para peneroka Melayu. Jika mereka memahaminya, tidaklah sukar sebenarnya untuk mereka faham mengapa pihak pengurusan Felda dengan arahan pimpinan Umno seboleh-bolehnya ingin menyekat program penerangan yang ingin dibuat oleh Pakatan Rakyat di kawasan felda. Mengapa begitu takut sekali?
Diberitakan terdapat arahan melarang keras kehadiran Pengerusi ANAK, Sdr Mazlan Aliman untuk menjejakkan kaki ke Tanah Rancangan Felda bagi menyampaikan penerangan. Kita tahu, Sdr Mazlan Aliman di dalam setiap ceramahnya akan membawakan hujah dan fakta untuk membuktikan bahawa sebenarnya para Peneroka telah tertipu dengan beberapa langkah Kerajaan terutamanya oleh Pengerusi Felda, Isa Samad yang kononnya untuk memperbaiki nasib para peneroka.
Sehingga kini apakah dasar atau perkara yang telah dilakukan oleh Isa Samad untuk meningkatkan taraf hidup para Peneroka? Apakah dengan pemberian wang tunai samada di dalam bentuk saham atau bonus itu menandakan bahawa para Peneroka telah berjaya meningkatkan taraf hidup mereka? Semenjak wang tunai ini diagih-agihkan, adakah nasib para Peneroka kini telah berubah? Di mana jaminan untuk masa hadapan generasi-generasi mereka akan datang?
Sayang kepada anak bukan bererti kita sentiasa memberikan wang kepada anak-anak kita apatah lagi wang yang kita berikan itu memaksa anak-anak kita berhutang untuk bertahun-tahun akan datang. Kini, saham di dalam FGVH jelas tidak memberi apa-apa erti kepada para peneroka kecuali menambahkan beban hutang mereka. Wang saham atau bonus yang diberikan pula banyak menimbulkan masalah kekeluargaan dan perebutan sesama ahli keluarga.
Sehubungan itu, marilah kita berfikir dengan hati yang jujur dan ikhlas. Mengapa Umno begitu bimbang dengan kempen atau penerangan yang Pakatan Rakyat lakukan? Mengapa pihak mereka tidak pernah berani untuk berdepan atau berdebat dengan ANAK mahu pun Biro Masyarakat Felda berkaitan isu felda ini? Jawapannya mudah, mereka takut para peneroka tahu perkara yang sebenarnya dan jika maklumat yang disampaikan ini difahami oleh para peneroka, sudah pasti Umno akan dibenci oleh para Peneroka.
Mudah-mudahan para Peneroka akan berubah sikap dan lebih bertanggungjawab untuk menyelamatkan felda dari orang-orang yang ingin menjadikan Felda sebagai 'lubuk duit' mereka.
Sama-sama rakyat Malaysia turun berkumpul dihdapan pejabat Felda di Kuala Lumpur pada 28/12/12
ReplyDelete