NOTIS

RADIO KOBAT FM

Thursday 1 December 2016

FELDA RUGI ?


Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2) mendedahkan Felda mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.

Laporan tersebut turut berkata Felda mengalami kerugian sebanyak RM28 juta membabitkan empat anak syarikat dan syarikat dibawah kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.

Syarikat tersebut ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Pertanian Sturgeon, restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.

Menurut laporan itu, Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB) membelanjakan RM47.61mil dalam projek ternakan ikan tetapi pulangannya termasuk dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan penggantungan projek tersebut.

FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah Felda.

"Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB," kata Ketua Audit Negara.

Global Settlers Sdn Bhd (GSSB) pula membelanjakan RM8.4 juta untuk membuka lima restoran Savaro tetapi kesemuanya ditutup selepas dua atau tiga tahun beroperasi.

Sementara itu, bagi Projek Pastri Schneeballen, GSSB membuat bayaran berjumlah RM2.29 juta kepada sebuah syarikat yang tidak berkaitan.

"Bayaran itu juga dibuat tanpa dokumen sokongan yang mencukupi dan penglibatan syarikat tidak berkaitan ini tidak dinyatakan dalam kontrak," katanya.

Laporan itu turut mendedahkan Projek Pastri Schneeballen ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan RM6.39 juta dibayar untuk kontrak dan mesin pastri.



Sumber: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/11/21/felda-rugi-rm45-juta/

Wednesday 24 August 2016

MATC PAYA BESAR - USUL GESA KEADILAN PUSAT SERAH MANDAT KEPADA AKAR UMBI BUAT PILIHAN TENTANG HUBUNGAN KEADILAN DAN PAS

Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) Paya Besar, Kuantan telah pun selesai diadakan pada Ahad (14/8/16) jam 3.00 petang baru-baru ini bertempat di Pejabat Ranting Taman Tas yang mana telah diresmikan oleh Wakil dari Adun Semambu, YB Lee Chean Chung iaitu Ketua AMK Pahang, Sdr Wong Chun Yuan.

Tiada pemilihan jawatan pada MATC kali ini, ianya hanya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Parti.  Di dalam ucapan perasmian wakil Adun Semambu tersebut, beliau menyentuh beberapa isu di antaranya berkaitan perjuangan reformasi yang diasaskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim serta usaha yang harus dilakukan di dalam meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap parti KEADILAN khususnya bagi Paya Besar.  Di samping itu, beliau turut menggesa agar kempen mendaftarkan pengundi-pengundi baru terutamanya pengundi-pengundi muda mesti digerakkan mulai sekarang memandangkan tarikh PRU semakin hampir.

Di antara usul yang menarik perhatian adalah usul kepada Pusat iaitu menggesa agar Pusat memutuskan samada hubungan di antara KEADILAN dengan Pas perlu diteruskan atau sebaliknya mestilah melalui Kongres Nasional di mana akar umbi berhak membuat keputusan bukan hanya diputuskan oleh beberapa pimpinan di MPP atau Biro Politik semata-mata.  Ini adalah kerana di peringkat akar umbi terdapat berbagai pendapat yang seharusnya didengari oleh pimpinan Pusat.  

Usul ini diterima sebulat suara.

Friday 12 August 2016

MESYUARAT AGONG TAHUNAN CABANG PAYA BESAR PADA 14 OGOS 2016

KEADILAN Cabang Paya Besar akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) 2016 pada hari Ahad (14 Ogos 2016) jam 03.30 petang bertempat di Pejabat Ranting KEADILAN Taman Tas, iaitu di tempat yang sama diadakan pada tahun lepas.

Notis MATC telah pun dikeluarkan pada 29 Julai 2016 yang lalu untuk menjemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir mesyuarat pada tarikh yang dinyatakan.  MATC kali ini akan diresmikan oleh Adun Semambu, YB Lee Chean Chung.

Sehubungan itu, sekali lagi dijemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir di dalam mesyuarat kali ini. 

Sunday 3 July 2016

EDAR KUEH RAYA DAN UCAPAN SELAMAT HARI RAYA DARI KEADILAN PAYA BESAR








KEADILAN Cabang Paya Besar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam, maaf zahir batin.  Sepanjang Ramadhan, KEADILAN Paya Besar telah mengadakan beberapa program ziarah dan juga edaran kurma dan kueh raya di beberapa lokasi orang ramai seperti di Pasar Malam atau Bazar Ramadhan.

 

Sunday 12 June 2016

AMANAH MAMPU BUAT KEJUTAN DI SG BESAR DAN K.KANGSAR

KEADILAN Cabang Paya Besar optimis bahawa Parti Amanah akan berjaya membawa misi Pakatan Harapan untuk memenangi dua PRK di Sg Besar dan K.Kangsar.  Walaupun menyedari bahawa ini bukan satu tugas mudah kerana kedua-dua Kerusi tersebut sebelum ini adalah milik Bn, ditambah pula dengan pertandingan 3 penjuru di Sg Besar dan 4 penjuru di K.Kangsar, namun melihat kepada perkembangan semasa kami yakin Pakatan Harapan akan memenangi kedua-dua PRK tersebut, InsyaAllah.


Rakyat di dua kawasan tersebut tiada pilihan.  Mereka harus melihat dua pihak sahaja iaitu Kerajaan Bn yang sedang memerintah atau Pembangkang.  Pembangkang di negara ini tiada lain selain dari Pakatan Harapan kerana ia membawa suara dari Parti KEADILAN, Dap dan Amanah, tiga parti politik yang bergabung dan mempunyai satu tujuan iaitu ingin melawan kerakusan Umno/Bn.  Ini berbeza dari satu lagi iaitu Pas yang dilihat hanya memasuki Pilihanraya untuk menasihati Umno/Bn.  Itu jelas.


Kita mahu Wakil Rakyat yang berada di Parlimen membawa suararakyat dengan jelas dan lantang serta tegas, bukan hanya menjadi 'pasu bunga' sahaja.  Kekerapan media kawalan Umno/Bn seperti RTM dan TV3 memberikan ruang yang luas kepada pimpinan Pas untuk muncul mengecam Dap dan Amanah terutamanya sudah cukup untuk kita memikirkan apakah tujuan Umno/Bn sebenarnya?  Apakah hubungan Umno/Bn dengan Pas di dalam PRK ini?  Mengapa tiada ruang buat pimpinan Pakatan Harapan untuk muncul seperti mereka?  


Kami yakin para pengundi bijak di dalam membuat pilihan.  Apakah mereka masih ingin menyokong parti yang diterajui oleh Najib atau memilih parti yang direstui juga oleh Najib, atau memilih parti yang amat dibenci dan ditakuti oleh Najib iaitu Pakatan Harapan yang diwakili oleh Amanah.

Friday 13 May 2016

MAJLIS MAKAN TENGAHARI BERSAMA NURUL PADA 14 MEI INI DIBATALKAN

Mengikut perancangan, Cabang KEADILAN Paya Besar berhajat untuk mengadakan Majlis Jamuan Makan Tengahari bersama YB Nurul Izzah pada 14 Mei 2016 ini bertempat di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Paya Besar, Kg Batu Sawar, Jln Sg Lembing, Kuantan.

Memandangkan pada tarikh tersebut terlalu banyak program penting melibatkan YB Nurul Izzah dan juga Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, maka program tersebut terpaksa dibatalkan.  Walau bagaimanapun, KEADILAN Cabang Paya Besar bercadang akan mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya selepas Aidil Fitri nanti.

Sebarang program melibatkan Cabang Paya Besar akan kami maklumkan dari semasa ke semasa.

Tuesday 26 April 2016

CERAMAH PERDANA CABANG PAYA BESAR PADA 14 MEI 2016

Selepas kita di Cabang Paya Besar berjaya mengadakan Program Jelajah Melayu Bermaruah Peringkat Negeri Pahang bagi Zon Timur baru-baru ini, Cabang Paya Besar semakin bersemangat untuk meneruskan banyak lagi program sehingga menjelang PRU 14 nanti.

InsyaAllah, pada 14 Mei 2016 nanti Cabang Paya Besar akan mengadakan Jamuan Makan Tengahari bersama YB Nurul Izzah, Naib Presiden KEADILAN yang juga MP Lembah Pantai.  Pada sebelah malamnya kita akan mengadakan Program Ceramah Perdana bersama pimpinan Pakatan Harapan iaitu peringkat Pusat dan negeri.  Kedua-dua program tersebut akan diadakan di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Paya Besar, Kg Batu Sawar, Jln Sg. Lembing, Kuantan.

Cabang Paya Besar akan menjemput Dato' Saifuddin Nasution (Pengarah Pilihanraya KEADILAN Pusat), YB Tengku Zulpuri (Adun Mentakab - Dap) dan Sdr Mazlan Aliman (Amanah Pusat/ Pengerusi ANAK).   Penceramah dari negeri pula kita akan menampilkan YB Dato' Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi KEADILAN Pahang/MP Indera Mahkota), YB Fuziah Salleh (MP Kuantan), YB Lee Chean Chung (Adun Semambu) dan YB Sim Chon Siang (Adun Teruntum).

Maklumat terperinci akan dimaklumkan kemudian.

Wednesday 6 April 2016

PROGRAM CERAMAH/JELAJAH MELAYU BERMARUAH PADA 10 APRIL 16 DI KG BATU SAWAR, PAYA BESAR


Program Jelajah Melayu Bermaruah adalah satu program yang diatur oleh KEADILAN Pusat dan akan menjelajah ke seluruh Negeri mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Program ini adalah bertujuan untuk menarik keyakinan dan kepercayaan kaum Melayu khususnya tentang perjuangan KEADILAN di dalam membela nasib mereka seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan berkaitan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.

KEADILAN akan memperjelaskan bahawa kepentingan orang-orang Melayu tidak akan terjejas sedikit pun sekiranya parti ini diberi peluang memerintah Negara mahupun negeri.  Meskipun prinsip KEADILAN adalah untuk semua, namun kita berpegang kepada prinsip asas iaitu semua kaum berhak mendapat hak masing-masing seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.  Apa yang berlaku sekarang, Umno yang dikatakan parti orang-orang Melayu telah gagal di dalam membela nasib orang-orang Melayu.  Kita telah buktikan di negeri-negeri yang Pembangkang berkuasa, tiada mana-mana kaum tersisih dan kaum Melayu tetap dipelihara kedudukan mereka.

Program Jelajah Melayu Bermaruah Peringkat Negeri Pahang akan bermula pada 09 April 2016 (Sabtu) di kawasan Parlimen Temerloh, Bera dan Bentong.  Pada 10 April 2016 (Ahad), program ini akan berlangsung di Parlimen Paya Besar dan Maran.  

Di Parlimen Paya Besar, program akan bermula seawal jam 0700 pagi, di mana pimpinan-pimpinan akan bersarapan pagi di Restoren Zaman, Batu 9, Jln Gambang (berhadapan Lapangan Terbang/Pengkalan TUDM Kuantan).  Sekitar jam 10.00 pagi, pimpinan akan dibawa berkunjung ke Felda Bukit Goh untuk bertemu para penduduk di sana dan beramah mesra.  Pada sebelah petang, sekitar jam 5.00 petang, para pimpinan akan dibawa ke majlis minum petang dan beramah mesra dengan masyarakat setempat di Pejabat Wanita KEADILAN Cabang Paya Besar di Batu 14, Jln Gambang.  Program kemuncak adalah bertempat di Pejabat KEADILAN Cabang Paya Besar di Kg Batu Sawar, Jalan Sg Lembing di mana akan diadakan program ceramah perdana.

Tapak perniagaan juga boleh dibuka dan untuk tempahan tapak, sila berhubung dengan Ketua Cabang, Sdr Kamarzaman di No Tel 013 - 9929494.  Sebarang pertanyaan juga, boleh berhubung dengan beliau.

Senarai penceramah dan jemputan adalah seperti yang tertera di poster di atas.  Orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan kepada rakan-rakan melalui media sosial anda. 

Friday 11 March 2016

KEADILAN CABANG PAYA BESAR SERU PENYOKONG HADIR BERI SOKONGAN KEPADA #RED2GREEN WALK TO PARLIAMENT



KEADILAN Cabang Paya Besar menyeru kepada semua ahli KEADILAN dan para penyokong untuk beramai-ramai memberikan sokongan moral kepada para sukarelawan pejalan kaki Kempen #RED2GREEN - WALK TO PARLIAMENT" yang akan bermula esok (12/3/16) sehingga mereka dijangka sampai ke Parlimen pada 28/3/2016.



Beberapa kawasan di Paya Besar juga terutama sekitar Bukit Goh dan Sg Lembing telah terlibat dengan pencemaran hasil dari perlombongan Bauksit.  Sehubungan itu, di dalam tempuh penggantungan aktiviti perlombongan tersebut, kita mesti tunjukkan bahawa aktiviti ini harus dihentikan kerana terlalu banyak kemudharatannya berbanding dari kebaikannya.

Ayuh, warga Paya Besar.  Kita mampu mengubahnya!!

Monday 25 January 2016

KEMPEN BEBASKAN ANWAR DI TAMAN TAS, KUANTAN PADA 26 JAN 2016

KEADILAN Cabang Paya Besar, Kuantan akan mengadakan Kempen Tandatangan Bebaskan Anwar Ibrahim pada Selasa (26/1/2016) jam 5.00 petang bertempat di Pasar Malam Taman Tas, Kuantan.

Sehubungan itu kami menyeru kepada anda semua untuk beramai-ramai menurunkan tandatangan bagi menyatakan kepada rejim bahawa Anwar Ibrahim wajib dibebaskan segera dan hentikan kezaliman serta fitnah terhadap tokoh reformasi ini.

Semua AJK Cabang Paya Besar diminta hadir dan semua ahli KEADILAN Paya Besar juga diminta untuk bersama-sama mengambil bahagian di dalam kempen ini.