NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday, 26 February 2013

Anwar bakal PM selepas PRU 13



SHAH ALAM 25 FEB: Pakatan Rakyat hari ini mengulangi pendirian mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

 
 
“Jika kita mahu selamatkan negara dan memperbetulkan kewangan, kita perlukan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan ucaptama di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, sejak Ketua Umum KEADILAN tidak lagi memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1998, belanjawan negara mencatat defisit selama 15 tahun berturut-turut.

“Kali terakhir negara berjaya mencatat lebihan belanjawan adalah semasa Anwar menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Berikutan itu, kata Guan Eng, pemberian sumbangan disalur Pakatan berbeza dengan BN kerana negeri-negeri yang ditadbir Pakatan menggunakan wang lebihan hasil keuntungan negeri, manakala BN pula terpaksa berhutang untuk memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Wang lebihan yang diperolehi (Pakatan) hasil pentadbiran telus sejak 2008 disalurkan kembali kepada rakyat melalui program-program Agenda Ekonomi Sosial. Sebaliknya BN memberi bantuan kewangan kepada rakyat walaupun mencatat defisit tinggi dan hutang semakin melambung,” kata Guan Eng.

Rakyat tanggung hutang RM31,000 seorang

Menurut Guan Eng, ketirisan kewangan negara berpunca gejala rasuah yang membarah di kalangan pemimpin Umno.

Beliau turut memetik laporan badan pemerhati kewangan antarabangsa yang berpusat di Washington – Global Financial Integrity.

“Pengeluaran keluar dana haram di Malaysia berjumlah RM197 bilion pada 2010 dan RM871 bilion sepanjang 10 tahun dari 2001 hingga 2010. Pengaliran keluar dana haram per kapita untuk Malaysia adalah RM7,000, dengan kata lain setiap rakyat Malaysia menanggung hutang sebanyak RM31,000 dari 2001 hingga 2010,” katanya.

 
 
Guan Eng berkata, sebaik Pakatan mengambil alih pemerintahan negara, rasuah akan dihapuskan dan semua penyelewengan selama Umno memerintah akan disiasat.

“Menghapuskan rasuah adalah lebih baik dan berfaedah. Rakyat akan menerima keuntungan dan sistem pentadbiran negara akan lebih bersih, hijau dan selamat,” sambungnya.

“Kita akan siasat RM52 bilion saham Bumiputera. Cari siapa yang ‘telan’ wang itu dan paksa dia ‘muntahkan balik’. Begitu juga rakyat Cina, kita akan siasat penyelewengan PKFZ (skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang).

“Kita juga akan pulangkan wang diseleweng kepada rakyat, dan RM3 bilion skandal Maika Holdings kita pulangkan kepada masyarakat India. Begitu juga di Sabah dan Sarawak yang menjadi mangsa kemiskinan,” kata Guan Eng lagi.

“Saya ingin mencadangkan sebaik saja Pakatan menang PRU 13, kita akan terus larang lapangan terbang dari membenarkan mana-mana kapal terbang peribadi meninggalkan negara,” katanya disambut tepukan hampir 2,000 perwakilan./KD

No comments:

Post a Comment