NOTIS

RADIO KOBAT FM

Thursday 27 November 2014

Tender kepada kroni punca infrastruktur pendidikan negara tercemar

Berikutan dengan laporan mengenai kegagalan Malaysia untuk mencapai taraf pendidikan yang mampu menyaingi negara-negara serantau seperti Vietnam dan Singapura, kita juga mendapati bahawa infrastruktur pendidikan di negara kita juga berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Di Malaysia, terdapat 7,746 sekolah rendah dan 2,355 sekolah menengah di seluruh negara. Apa yang mengejutkan, daripada jumlah sekolah ini, terdapat kira-kira 1500 sekolah tanpa bekalan air bersih dan 300 sekolah tanpa bekalan elektrik elektrik 24 jam.

 
 
Selain itu, bagi tahun 2011, masih terdapat kira-kira 2,700 buah sekolah (27 peratus daripada jumlah) tanpa makmal komputer dan kira-kira 2,000 buah sekolah tanpa makmal sains.

Sehingga 30 November 2013, Malaysia punyai 241,068 guru sekolah rendah dan 178,872 guru sekolah menengah di Malaysia. 192,183 murid pra sekolah, 2,740,992 murid sekolah rendah dan 2,285,446 murid sekolah rendah menengah di Malaysia.

Ternyata, dalam konteks keperluan, kerajaan perlu memastikan infrastruktur-infrastruktur pendidikan yang lengkap, bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran tidak terbantut.

Menurut angka yang didapati dari Kementerian Kewangan, Perbelanjaan Pembangunan Kementerian Pendidikan daripada tahun 2012 ke 2015 adalah seperti berikut, 2012 – RM3.553 bilion, 2013 – RM1.104 bilion, 2014 – RM1.530 bilion dan 2015 – RM1.637 billion.*

Persoalannya kemanakah wang pembangunan ini digunakan, dan apakah langkah kerajaan untuk memastikan wang peruntukan disalurkan menerusi tatakelola dan urus tadbir yang baik.

Malangnya, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan ketirisan lanjut melibatkan infrastruktur asas. Secara khusus didedahkan tentang pembinaan Insititut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Pembinaan Institut tersebut dilaporkan diluluskan secara rundingan terus dengan kontraktor Global Globe (M) Sdn Bhd, melalui 2 surat bertarikh 7 Januari 2008 dan 10 Julai 2009 dengan kos keseluruhan sebanyak RM123.47 juta . Kerajaan juga telah meluluskan perlantikan 4 Perunding bagi memantau kerja-kerja rekabentuk, Sivil dan Struktur, Mekanikal dan Elektrikal dan Ukur Bahan pada 11 Julai 2007.

Kementerian wajib menjustifikasi pilihan kontraktor Global Globe (M) Sdn Bhd secara rundingan terus.

Secara lazim, hanya 3 perkara yang dibenarkan untuk rundingan terus iaitu untuk ketenteraan, perkara yang melibatkan keselamatan negara, dan produk-produk proprietari. Pastinya projek ini tidak tergolong dalam kategori di atas.

Pembinaan bangunan ini dilaporkan tidak berkualiti, sehinggakan air mengalir keluar dari lampu ketika hujan lebat, dan pendawaian yang tidak sempurna sehingga rumah pengawal tidak mempunyai bekalan elektrik, dan terpaksa ditarik daripada tiang lampu.

Projek ini yang sepatutnya disiapkan pada 11 Mac 2011 hanya disiapkan pada 11 September 2012, dan diserahkan pada Kementerian Pendidikan pada 14 Disember 2012. Bangunan ini juga mula digunakan pada Mac 2013.

Sebelum ini, IAB telah mensasarkan untuk melatih sebanyak 53,000 orang perserta dalam tempoh tersebut, tetapi hanya berjaya melatih sebanyak 269 orang perserta iaitu 0.51% daripada sasaran asal, disebabkan oleh kelewatan penyiapan bangunan ini.

Menurut maklum balas daripada KPM sendiri, 10 kursus rintis ini diadakan tanpa penginapan di IAB Bandar Enstek disebabkan oleh bangunan itu masih lagi tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Sebanyak 103 ICT termination points di makmal komputer dan bilik pensyarah kanan masih belum dipasang.

Justeru, Menteri Pendidikan mestilah memberikan perhatian yang lebih besar ke atas masalah infrastruktur, termasuk mengkaji semula pemberian kontrak kepada kontraktor secara runding terus dan penalti sekiranya kualiti kerja mengecewakan. Adakah anak-anak kita dimangsakan kerana kepentingan kroni?

Wajib bagi kerajaan menamatkan era tender terus yang merampas hak anak-anak kita menikmati infrastruktur asas yang berfungsi dengan baik dalam melakar masa depan pendidikan yang cemerlang.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

No comments:

Post a Comment