NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday 29 April 2014

PILIHAN LOKASI MATC/PEMILIHAN CABANG PAYA BESAR DI TAMAN TAS AMAT TEPAT

Sepertimana yang telah diputuskan oleh JPP, MATC dan pemilihan bagi Cabang Paya Besar telah ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan, kemungkinannya pada 10 Mei 2014.  Cabang Paya Besar sepatutnya mengadakan MATC dan pemilihan serentak dengan kesemua Cabang di Negeri Pahang pada 26 April 2014 baru-baru ini, namun terpaksa ditunda atas sebab-sebab teknikal.

Di antara faktor besar tarikh tersebut dipinda adalah bagi menetapkan semula Pusat Pengundian.  Pusat Pengundian yang telah dikemukakan kepada JPP telah mendapat bantahan.  Sehubungan itu, Cabang Paya Besar telah mengadakan perjumpaan bersama AJK Cabangnya untuk memutuskan Pusat Pengundian yang sesuai.

Di dalam perbincangan AJK Cabang Paya Besar yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabangnya iaitu Sdr Arman, maka kesemuanya bersetuju untuk memilih Pejabat Ranting PKR Taman Tas yang baru dibuka untuk dijadikan sebagai tempat MATC dan pemilihan.  Pemilihan tempat ini dibahaskan dan masing-masing menyimpulkan bahawa tempat ini sesuai berdasarkan faktor-faktor berikut:

1.  Mesyuarat parti adalah releven dan sewajarnya digalakkan diadakan di Pejabat Parti itu sendiri.
2. Mengadakan MATC/Pemilihan di pejabat baru tersebut adalah sebagai salah satu pendekatan terbaik untuk mempromosikan pejabat berkenaan kepada ahli-ahli parti.
3. Mengadakan MATC/pemilihan seperti lokasi awal yang dicadangkan iaitu di rumah Cikgu Zul di Permatang Badak dianggap merendahkan imej parti seolah-olah Cabang PKR hanya bergantung kepada rumah penyokong bagi mengadakan mesyuarat, tambahan pula sedikit sebanyak mengganggu tuan punya rumah sepanjang MATC atau pemilihan itu nanti.
4.   Tiada unsur-unsur pilih kasih berlaku jika diadakan di Ranting Taman Tas kerana lokasinya berada di tengah-tengah kawasan Paya Besar dan ini memudahkan kehadiran ahli-ahli ke MATC/pemilihan, tambahan pula lokasinya berada di sebuah Pekan yang amat dikenali di sini.
5.  Tidak timbul lokasi yang dipilih ini menguntungkan mana-mana calon yang bertanding kerana setiap calon sudah tentu akan menentukan para penyokongnya untuk hadir beramai-ramai dan tidak masuk akal lokasi boleh membuatkan ahli-ahli mengubah pilihan masing-masing.

Sehubungan itu, amat tidak wajar samasekali calon-calon yang bertanding menjadikan alasan remeh temeh ini untuk mencari keuntungan politik peribadi.  Berfikirlah secara terbuka dan matang agar MATC/pemilihan kali ini berjalan dengan licin dan teratur.

Sesiapa jua yang menang atau tewas, apa yang penting PKR Cabang Paya Besar harus diutamakan dari kepentingan diri. 

Wednesday 2 April 2014

UMUM TANDING KETUA CABANG PAYA BESAR

Setelah memikirkan semasak-masaknya apabila mendapat nasihat dan pandangan dari rakan-rakan dan beberapa pihak, saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk bertanding Jawatan Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar pada pemilihan (MATC) yang akan diadakan tidak beberapa lama lagi.

Di antara faktor saya mahu menyumbangkan jasa bakti, tenaga dan buah fikiran secara lebih efisyen kepada parti terutamanya di Paya Besar untuk menjawat Jawatan Ketua Cabang ini adalah seperti berikut"
 
 

-  Menyedari bahawa Cabang Paya Besar mesti dihidupkan semula setelah terencat sedikit apabila Ketua Cabangnya Tuan Hj Zahari Mamat mengambil keputusan keluar parti menjelang PRU 13 yang lalu.

-  Menyahut cabaran dari kepimpinan negeri yang mahu melihat Cabang Paya Besar menjadi lebih kuat dan kukuh walaupun menjelang PRU 13 yang lalu berbagai kemelut dan krisis di Cabang ini sedikit sebanyak menjejaskan gerak kerja parti di Cabang.

-  Ingin menjadikan kawasan felda sebagai sasaran utama dan cabaran bagi memperkuatkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU 14 akan datang.

-  Memperkuatkan kerjasama dengan rakan-rakan dari PAS dan DAP di kawasan ini di samping akan melengkapkan semua jentera di Ranting Cabang ini agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kekuatan jentera rakan di dalam PR.

-  Ingin membuktikan tidak mustahil kubu Umno yang kuat di kawasan ini boleh ditembusi asalkan gerak kerja yang bersistematik dan berterusan dapat dilaksanakan.

-  Ingin memperkuatkan persefahamanan dan persaudaraan sesama ahli di Cabang Paya Besar bagi memantapkan jentera parti di semua peringkat.

Sehubungan itu, saya memohon agar ahli-ahli KEADILAN di Cabang Paya Besar boleh membantu saya merealisasikan tujuan-tujuan murni di atas demi kebaikan bersama.

Saya bersedia menerima amalan demokrasi yang sihat dan mengharapkan perkara yang sama dapat diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menawarkan diri bertanding.