NOTIS

RADIO KOBAT FM

Saturday 1 April 2017

PAYA BESAR - DUA DUN SASARAN KEADILAN

Kerjasama di antara Keadilan Cabang Paya Besar dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan, Amanah serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus dipertingkatkan.  Meskipun di Paya Besar tiada cawangan Dap, namun wakil dari Dap juga sering dilibatkan di dalam beberapa program di Paya Besar khususnya di kawasan-kawasan pekan kecil.

Di dalam PRU14 akan datang, Keadilan mensasarkan sekurang-kurangnya dua Dun untuk ditandingi, manakala rakan-rakan dari Amanah serta PPBM juga turut berminat untuk bertanding di Parlimen serta Dun.  Setakat ini, Alhamdulillah, Pakatan Harapan Paya Besar telah berjaya berunding serta membincangkan tentang peruntukan Kerusi bagi parti masing-masing.

Apa yang menjadi fokus kami di Paya Besar adalah merancakkan lagi aktiviti serta program-program di akar umbi terutamanya di kawasan-kawasan felda yang 90% adalah kawasan di Parlimen Paya Besar.  Beberapa program sebelum ini seperti ceramah, pendaftaran serta penyemakan alamat mengundi, edaran risalah dan akhbar SelangorKini akan diteruskan dan dipergiatkan.  Kami sedar, tidak mudah untuk mendekati dan memujuk warga felda agar melakukan perubahan, namun semuanya kami anggap sebagai ujian yang wajib kami tempuhi.

Parlimen Paya Besar sememangnya kubu kuat Umno, namun rekod menunjukkan Keadilan tidak pernah hilang deposit apabila bertanding di kawasan kubu mereka.  Ini menunjukkan Keadilan serta Pakatan Harapan mempunyai masa depan yang cerah di kawasan ini apatah lagi dengan beberapa isu besar yang melanda negara termasuk isu-isu yang melibatkan kepentingan warga felda sendiri.  Apa yang perlu kami lakukan adalah terus menyampaikan maklumat-maklumat ini melalui apa jua cara.

Kerjasama dari semua AJK Cabang Paya Besar serta rakan-rakan dari Pakatan Harapan harus dipertingkatkan lagi bagi merealisasikan hasrat untuk melakukan perubahan di Paya Besar.