NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday 8 May 2018

PESANAN DAN HARAPAN DARI CALON N19 PANCHING


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Saya, KAMARZAMAN BIN MOHAMED YUNUS atau lebih dikenali sebagai Pak Long mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti menjadi calon PRU 14 mewakili Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Dun Panching, Parlimen Paya Besar.

Saya dilahirkan di Raub, Pahang pada 01 Jun 1956 dan mendirikan rumahtangga dengan seorang pendidik yang juga berasal dari Maran, Pahang.  Sebagai anak jati Pahang, sudah semestinya saya amat memahami apa yang dialami oleh rakyat Negeri Pahang khususnya.  Sebagai bekas kakitangan yang pernah bertugas sebagai Pembantu Tadbir Felda (1977) dan sebagai kakitangan di LKPP (1981 -2011) serta terlibat memegang jawatan di dalam berbagai persatuan, saya banyak mengetahui tentang kehidupan rakyat di berbagai sektor.  Berpengalaman bekerja di sektor perladangan (felda dan LKPP) banyak membantu saya mengenali tentang kehidupan mereka.

Apabila saya diberikan amanah dan tanggungjawab untuk bertanding mewakili Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Panching, suatu kawasan yang rata-ratanya adalah kawasan Felda seperti Felda Panching Selatan, Felda Panching Timur dan Felda Panching Utara, termasuk beberapa perkampungan di pinggiran felda, saya merasakan amanah yang diberikan ini adalah ujian dan cabaran buat saya untuk mencuba sebaik mungkin bagi mengubah nasib warga felda, masyarakat kampung dan pekan-pekan kecil yang sekarang ini kehidupan mereka tidak terbela.    

Apabila kerajaan memperkenalkan sistem percukaian GST beberapa tahun yang lalu, kehidupan rakyat semakin tertekan.  Warga felda dihimpit dengan bebanan hutang sedangkan hasil jualan sawit pula tidak membantu menambah pendapatan mereka.  Berbagai skandal yang berlaku di dalam Felda telah memburukkan keadaan.  Generasi Kedua Felda pula seakan-akan dipermainkan dengan janji-janji manis menjelang Pilihanraya untuk mereka mendapatkan rumah kediaman, tetapi janji tinggal janji semata-mata.  Menjelang PRU 14 yang akan bermula 09 Mei 2018 ini, sekali lagi mereka dijanjikan dengan perumahan Generasi Kedua.  Apakah kita sanggup membiarkan ini berterusan?

Sehubungan itu, saya menerima tanggungjawab sebagai calon Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Panching dengan membawa hasrat dan cita-cita untuk membawa suara warga felda, masyarakat kampung serta seluruh rakyat khususnya di Dun Panching ini agar nasib mereka terbela.  Saya impikan kehidupan rakyat yang selesa dan diberi kebajikan seperti yang dilaksanakan di Negeri Selangor.  Pahang negeri kaya dan mampu untuk menjadi sebuah negeri berkebajikan seperti Negeri Selangor sekiranya rakyat Pahang memilih Pakatan Harapan.

Saya, dengan penuh rendah diri merayu dan memohon agar pengundi-pengundi di N19 Panching memberikan peluang kepada saya untuk menjadi wakil suara rakyat Panching.  Saya menyeru agar para pengundi untuk memilih Parti Keadilan di seluruh negeri Pahang khususnya dan seluruh Malaysia, amnya.

ALLAH TIDAK MENGUBAH NASIB SESUATU KAUM, KECUALI MEREKA MENGUBAHNYA

UNDI KEADILAN UNTUK PAKATAN HARAPAN

Selamat Mengundi.

KAMARZAMAN BIN MOHAMED YUNUS
Calon Keadilan
N19 Panching 

Monday 12 February 2018

EDARAN BUAH LIMAU DAN RISALAH DI TAMAN TAS









Pagi Sabtu (10/2/18) jam 09.00 pagi, bertempat di Pekan Taman Tas, Keadilan Paya Besar telah membuat program edaran buah limau serta risalah sempena Menyambut Tahun Baru Cina di sekitar kawasan pasar pagi dan kedai-kedai makan.
 
Turut bersama adalah Adun Semambu YB Chean Chung serta Ketua Cbg Paya besar, Sdr Kamarzaman Mohamed Yunus serta AJK-AJK Cabang.

"Gong Xi Fa Chai"

Friday 2 February 2018

GERAK KERJA KEADILAN DI DUN SG LEMBING DAN PANCHING DIPERHEBATKAN

Gerak kerja Keadilan di Dun Sg Lembing dan Panching sebenarnya telah lama bermula.  Gerak kerja samada secara berkelompok serta secara bersama dengan Pakatan Harapan di Paya Besar telah pun lama bermula.  Setakat ini kerjasama kami di dalam Pakatan Harapan Paya Besar amat baik, cuma kami perlu lebih banyak menyusun program-program yang akan melibatkan kesemua tiga Dun di dalam Parlimen Paya Besar.

Parlimen Paya Besar akan ditandingi oleh PPBM, manakala Keadilan akan bertanding di dua Dun dan Amanah di satu Dun.  Tidak beberapa hari lagi, Keadilan akan menubuhkan Bilik Gerakan Utama (BGU) di Dun Sg Lembing, kemudian disusuli pula di Dun Panching.  Manakala perancangan seterusnya kami akan mengadakan program kelompok di Felda Lepar bersama Pakatan Harapan.  Selain dari program bersama, parti-parti di dalam Pakatan Harapan juga mempunyai perancangan masing-masing yang sudah pastinya akan diberi kerjasama sebaiknya oleh rakan-rakan yang lain.

Penyelaras Dun Sg Panching, Sdr Kamarzaman Mohamad Yunus menaruh keyakinan bahawa warga felda akan melakukan perubahan besar di dalam PRU14 akan datang, namun mengharapkan momentum perubahan sahaja tidak mencukupi tanpa gerak kerja dan strategi.  Atas faktor itulah Keadilan Paya Besar akan terus menggerakkan jenteranya berlipatganda memandangkan tarikh PRU14 semakin hampir.

Kami menyeru kepada mana-mana individu khususnya yang berada di Paya Besar yang mahu menjadi sukarelawan Pakatan Harapan agar boleh mendaftarkan diri mulai sekarang.  Sila berikan nama penuh, No KP, alamat dan No Tel anda kepada SU Keadilan Paya Besar, Sdr WFauzdin NS di No Tel 013-9410309.