NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday 30 July 2013

RAMADHAN BAKAL PERGI, SYAWAL BAKAL TIBA - SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Kita semakin hampir meninggalkan Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan semakin menuju ke Bulan Syawal di mana kita sebagai umat Islam akan menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidil Fitri.

Ertinya, selama sebulan kita telah menempuh ujian dengan berbagai bentuk selain dari menahan lapar dan dahaga.  Bulan Ramadhan juga menjadikan kita insaf terhadap nasib yang menimpa manusia yang kurang bernasib baik.  Justeru itu, wadah politik amat penting untuk kita ceburi kerana untuk merubah keadaan kepada yang lebih baik tiada jalan lain kecuali melalui kuasa politik.  Semuanya bergantung kepada kita untuk berada di wadah politik yang manakah yang kita rasa sesuai dan sejajar dengan apa yang Allah perintahkan.

KEADILAN Cabang Paya Besar dengan ini menyeru anda terutamanya yang berada di kawasan Paya Besar untuk bersama dengan wadah kami KEADILAN yang berjuang untuk semua.  Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadhan dan Selamat Menyambut Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.

Friday 26 July 2013

SPR berkokok lebih bising daripada ahli politik – Rafizi


KUALA LUMPUR 25 Julai: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menegaskan beliau telah mengulangi pendedahan mengenai pembekal dakwat kekal dan kaitannya dengan pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di luar dewan rakyat.

Rafizi mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusof yang mencabarnya membuat pendedahan di luar parlimen sekiranya ‘beliau anak jantan’.

Menurut Rafizi, kenyataan dibuat di luar dewan sebelum ini mencukupi untuk pengerusi SPR dan timbalannya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar-mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan sekarang,” ujarnya,.

Rafizi, yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, isu cabaran tersebut membayangkan sikap berat sebelah pengerusi SPR dan timbalannya.

“Malah, perkataan-perkataan yang digunakan seperti “anak jantan”, “menipu” dan lain-lain tidak menunjukkan sikap profesional mereka yang kini berkokok lebih bising dari ahli-ahli politik,” tegas beliau.

Tegasnya, isu sebenar adalah kegagalan mereka mengendalikan pilihan raya dengan adil, bebas dan telus terutamanya mengenai pelaksanaan dakwat kekal.

“Apabila diselidiki, didapati ia berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain,” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan mengapa syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihan raya termasuk dakwat kekal.

“Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihan raya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? ,” soalnya./KD

Wednesday 17 July 2013

MESYUARAT MPN PADA 20HB JULAI INI - PENGERUSI MPN TUNTUT KOMITMEN SEMUA

Seperti yang telah dimaklumkan di dalam Blog PKR Negeri Pahang dan juga di dalam blog ini serta melalui Face Book PKR Negeri Pahang, Mesyuarat MPN akan diadakan pada 20hb Julai 2013 ini bermula jam 4.45 petang bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Jalan Beserah, Kuantan.

Pemberitahuan ini juga telah dimaklumkan melalui email dan SMS kepada semua Ahli MPN dan AJK-AJK yang dilantik mewajibkan mereka hadir tanpa gagal.  Semua Ahli MPN/AJK mesti mengambil berat dan serius tentang Notis Mesyuarat yang telah dikeluarkan bagi membuktikan bahawa masing-masing masih mempunyai komitmen yang tinggi terhadap parti walaupun PRU 13 telah pun berlalu.

Kepada mereka yang mempunyai alasan atau sebab-sebab yang kuat untuk dikecualikan dari menghadiri mesyuarat penting ini, mereka mestilah memaklumkan terlebih awal kepada Setiausaha PKR Negeri secara bertulis untuk direkodkan.

Pengerusi MPN memandang serius kepada mana-mana Ahli MPN yang bersikap sambil lewa terhadap kepentingan Mesyuarat-Mesyuarat yang diatur oleh Pejabat Negeri.  Kerjasama semua amat-amat diperlukan agar PKR Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi yang baik bagi meyakinkan rakyat bahawa parti ini adalah parti yang boleh mewakili suara rakyat sebilang masa.

Mesyuarat ini juga penting untuk melenyapkan suara-suara di belakang tabir yang kadangkala mengkritik kepimpinan negeri mahu pun kepimpinan Cabang mahupun AJK yang dilantik.  

 

Monday 15 July 2013

MESYUARAT MPN PADA 20HB JULAI INI

Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Negeri Pahang akan diadakan pada masa berikut:-


Tarikh    :     20 hb Julai, 2013 (Sabtu)
Masa     :     4.45 Petang
Tempat  :      Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota
                    Lot 1051, Jalan Beserah, Kuantan

Semua Ahli MPN/AJK di WAJIBKAN untuk menghadiri mesyuarat tersebut yang akan di Pengerusikan oleh Pengerusi MPN, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Mohon maklumkan kehadiran terus kepada Setiausaha KEADILAN Negeri melalui SMS ataupun melalui Email.  Sekiranya terdapat keuzuran atau sebarang masalah, mohon nyatakan secara bertulis melalui Email kepada Setiausaha.

Mudah-mudahan semua Ahli MPN/AJK mengambil perhatian.

Selepas mesyuarat akan diadakan majlis berbuka puasa dan Solat Maghrib.  Sila beri maklum balas kehadiran.

Sumber:  SU PKR Negeri

Thursday 4 July 2013

MP Kuantan: Tarik TOL Lynas serta-merta

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendesak Lesen Pengoperasian Sementara (TOL) yang dikeluarkan kepada Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) ditarik serta-merta.
Menurut Fuziah, semalam (2 Julai) genap 10 bulan dari tarikh akhir Lynas untuk mengenalpasti tapak pembuangan sisa kekal (PDF), radioaktif dan toksik.
Fuziah Salleh

Katanya, Setiausaha Eksekutif AELB pada 8 September 2012 menekankan, Lynas akan mengembalikan sisa tersebut ke Australia seperti dinyatakan dengan jelas oleh keputusan lembaga AELB.
“Kenyataan itu juga menyebut satu surat aku janji oleh Lynas Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd akan membuang sendiri sisa tersebut daripada Malaysia.
“Maklumat berhubung PDF adalah berdasarkan kenyataan AELB dan juga Menteri bertanggungjawab (Mosti).
“Sekalipun Lynas merancang untuk \mengkomersialkan sisa pepejal WLP, Lynas masih terikat akan mengenal pasti PDF,” katanya kepada pemberita.
Fuziah menambah, sebelum tarikh TOL berakhir, sudah ada gembar-gembur mengenai pengurusan sisa radioaktif oleh Lynas serta pihak berkuasa Malaysia.
Namun, Lynas dengan licik berjaya menimbulkan isu radiasi kepada isu alam sekitar serta kesihatan orang ramai yang disebabkan sifat karsinogenik sisa radioaktif, iaitu thorium.
Justeru Fuziah menegaskan, kegagalan Lynas mengurus pembuangan baki (residue) dan mengenalpasti PDF sudah cukup untuk menarik semula TOL yang dikeluarkan kepada Lynas.
“Saya menggesa AELB membatalkan TOL di Lynas serta-merta,” tegas Fuziah./KD

Monday 1 July 2013

PENGERUSI SPR MAHU JAWAB APA LAGI ?

Jawapan Shahidan Kassim di Parlimen mengenai dakwat kekal yang sebenarnya hanya menggunakan pewarna makanan benar-benar memeranjatkan semua pihak. Ia seperti pukulan maut untuk SPR. Setelah SPR bertegang urat mempertahankan isu dakwat kekal yang banyak dipertikaikan sebelum ini, tetapi dengan jawapan Shahidan ini, kita rakyat Malaysia seperti diperbodohkan mengenai dakwat kekal itu.

Malah ramai yang mengeluh, ini rupanya bentuk Malaysia tanahairku setelah 56 tahun merdeka.
Penggunaan dakwat kekal yang didapati tidak kekal dalam pilihanraya lalu menjadi isu besar kepada rakyat. Setelah rakyat yang mengundi mendapati ia tidak kekal sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh SPR, ramai yang bising mengenainya. Ramai yang membuat laporan polis mengenainya demi untuk mempertahankan proses demokrasi, termasuk seorang anggota tentera yang kemudian dikenakan tindakan di peringkat jabatan atas perbuatan yang sebenarnya berniat murni itu.

SPR pula begitu pantas mempertahankan kekekalan dakwat itu setiap kali ia dibangkitkan. Kononnya ia sudah diuji dan ketidakkekalannya adalah kerana ia tidak digoncang sebelum diguna. Kononnya kalau digoncang betul-betul, ia akan tahan lama. Petugas yang mencalit dakwat diletakkan kesalahan kenapa dakwat itu mudah luntur.

Kemudian apabila ia terus dipertikaikan, SPR memberi jawapan lain pula. Kononnya bahan kimia yang digunakan iaitu nitrat perak dalam dakwat itu terpaksa dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan. Seorang timbalan menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, turut bercakap dengan hujah yang sama.

Namun kemudian SPR dimalukan pula apabila Menteri Kesihatan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan laporan mengenai pengurangan nitrat perak dalam dakwat itu.

Apabila is terus dipertikaikan, SPR lalu menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat mengenai perkara itu untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Agak menghairankan, mereka yang menyediakan dakwat kekal itu, mereka juga yang mengujinya, mereka juga yang mempertahankannya tetapi akhirnya kerana tekanan rakyat, menubuhkan jawatankuasa pula.
Namun untuk mengaku kesilapan, jauh sekali. Rakyat pula terus keliru.

Sementara rakyat di bawah terus bercakap mengenai dakwat kekal yang tidak kekal ini dan mempertikaikan kewibawaan SPR, isu ini sering saja tenggelam timbul. Tetapi rakyat hairan dengan jawapan dolak-dalik dan tidak konsisten SPR mengenai isu ini. SPR seolah-olah memberi jawapan ikut sedap mulut saja dan bukan berdasarkan fakta sebenar.

Dalam ertikata lain, jawapan SPR seperti hujah politik seorang Ketua UMNO Cawangan saja layaknya.

Dengan jawapan Shahidan di Parlimen bahawa tiada bahan kimia digunakan dalam dalwat kekal itu, sebaliknya hanya pewarna makanan saja, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sepatutnya menghantukkan kepala masing-masing ke dinding jika mereka faham erti wibawa dan integeriti. Ini benar-benar memeranjatkan dan jelas bahawa pelbagai jawapan yang diberi selama ini bohong belaka. Ahmad Maslan pun turut menjadi pemimpin yang berbohong kepada rakyat.

Sudahlah hanya pewarna makanan yang digunakan, kos pembelian dakwat kekal yang menececah RM7.1 juta turut menjadi isu. Kalau hanya dakwat yang menggunakan pewarna makanan, bagaimana boleh harganya mencecah semahal itu?

SPR kini tidak boleh berdolak-dalik lagi. Jawapan Shahidan di Parlimen lebih dipercayai berbanding pelbagai hujah SPR di sidang media. Kewibawaan SPR sebagai pengendali pilihanraya yang bebas dan adil sudah berakhir. Rakyat berhak mempertikaikan pelbagai isu mengenai pengendalian pilihanraya oleh SPR memandangkan untuk menguruskan hal yang begitu mudah seperti dakwat kekal pun, mereka tidak mampu melakukannya dengan baik.

Rakyat juga hairan kenapa dakwat kekal di negara kita menjadi begitu kalut sedangkan penggunaannya di India dan Bangladesh tidak pernah timbul masalah dan sudah digunakan sejak puluhan tahun lamanya. Jika susah sangat, import saja dakwat yang sama yang digunakan di kedua-dua negara itu!

Dalam hal ini, memang tiada alasan lagi untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR mempertahankan diri mereka. Sudah sampai masanya mereka secara sukarela mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Tidak perlulah berdolak-dalik lagi mengatakan perlantikan mereka atas perkenan Yang Dipertuan Agong dan memaksa berundur kononnya mempertikaikan peranan dan perlantikan baginda itu.

Terus mempertahankan benang basah hanya mengeruhkan lagi keadaan. Letak jawatan dan biar orang lain yang lebih berwibawa memimpin SPR. Memandanfkan pilihanraya kecil Kual Besut akan diadakan tidak lama lagi, sebaiknya mereka mengundurkan diri sebelum pilihanraya itu berlangsung.

Ternampak sekarang, dengan pelbagai kemelut ini, merekalah yang sebenarnya sedang mencemar nama baik Yang Dipertuan Agong, sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan di negara ini dengan jawapan dan hujah yang entah apa-apa dan ikut sedap mulut saja mengenai dakwat kekal yang dipertaikaikan oleh seluruh rakyat Malaysia./anwaribrahim.blog