PENGERUSI SPR MAHU JAWAB APA LAGI ?
Jawapan Shahidan Kassim di Parlimen mengenai dakwat kekal yang
sebenarnya hanya menggunakan pewarna makanan benar-benar memeranjatkan
semua pihak. Ia seperti pukulan maut untuk SPR. Setelah SPR bertegang
urat mempertahankan isu dakwat kekal yang banyak dipertikaikan sebelum
ini, tetapi dengan jawapan Shahidan ini, kita rakyat Malaysia seperti
diperbodohkan mengenai dakwat kekal itu.
Malah ramai yang mengeluh, ini rupanya bentuk Malaysia tanahairku setelah 56 tahun merdeka.
Penggunaan dakwat kekal yang didapati tidak kekal dalam pilihanraya
lalu menjadi isu besar kepada rakyat. Setelah rakyat yang mengundi
mendapati ia tidak kekal sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh SPR,
ramai yang bising mengenainya. Ramai yang membuat laporan polis
mengenainya demi untuk mempertahankan proses demokrasi, termasuk seorang
anggota tentera yang kemudian dikenakan tindakan di peringkat jabatan
atas perbuatan yang sebenarnya berniat murni itu.
SPR pula begitu pantas mempertahankan kekekalan dakwat itu setiap
kali ia dibangkitkan. Kononnya ia sudah diuji dan ketidakkekalannya
adalah kerana ia tidak digoncang sebelum diguna. Kononnya kalau
digoncang betul-betul, ia akan tahan lama. Petugas yang mencalit dakwat
diletakkan kesalahan kenapa dakwat itu mudah luntur.
Kemudian apabila ia terus dipertikaikan, SPR memberi jawapan lain
pula. Kononnya bahan kimia yang digunakan iaitu nitrat perak dalam
dakwat itu terpaksa dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Seorang timbalan menteri yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan,
turut bercakap dengan hujah yang sama.
Namun kemudian SPR dimalukan pula apabila Menteri Kesihatan berkata
pihaknya tidak pernah mengeluarkan laporan mengenai pengurangan nitrat
perak dalam dakwat itu.
Apabila is terus dipertikaikan, SPR lalu menubuhkan sebuah
jawatankuasa untuk menyiasat mengenai perkara itu untuk mengetahui apa
sebenarnya yang berlaku. Agak menghairankan, mereka yang menyediakan
dakwat kekal itu, mereka juga yang mengujinya, mereka juga yang
mempertahankannya tetapi akhirnya kerana tekanan rakyat, menubuhkan
jawatankuasa pula.
Namun untuk mengaku kesilapan, jauh sekali. Rakyat pula terus keliru.
Sementara rakyat di bawah terus bercakap mengenai dakwat kekal yang
tidak kekal ini dan mempertikaikan kewibawaan SPR, isu ini sering saja
tenggelam timbul. Tetapi rakyat hairan dengan jawapan dolak-dalik dan
tidak konsisten SPR mengenai isu ini. SPR seolah-olah memberi jawapan
ikut sedap mulut saja dan bukan berdasarkan fakta sebenar.
Dalam ertikata lain, jawapan SPR seperti hujah politik seorang Ketua UMNO Cawangan saja layaknya.
Dengan jawapan Shahidan di Parlimen bahawa tiada bahan kimia
digunakan dalam dalwat kekal itu, sebaliknya hanya pewarna makanan saja,
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sepatutnya menghantukkan kepala
masing-masing ke dinding jika mereka faham erti wibawa dan integeriti.
Ini benar-benar memeranjatkan dan jelas bahawa pelbagai jawapan yang
diberi selama ini bohong belaka. Ahmad Maslan pun turut menjadi pemimpin
yang berbohong kepada rakyat.
Sudahlah hanya pewarna makanan yang digunakan, kos pembelian dakwat
kekal yang menececah RM7.1 juta turut menjadi isu. Kalau hanya dakwat
yang menggunakan pewarna makanan, bagaimana boleh harganya mencecah
semahal itu?
SPR kini tidak boleh berdolak-dalik lagi. Jawapan Shahidan di
Parlimen lebih dipercayai berbanding pelbagai hujah SPR di sidang media.
Kewibawaan SPR sebagai pengendali pilihanraya yang bebas dan adil sudah
berakhir. Rakyat berhak mempertikaikan pelbagai isu mengenai
pengendalian pilihanraya oleh SPR memandangkan untuk menguruskan hal
yang begitu mudah seperti dakwat kekal pun, mereka tidak mampu
melakukannya dengan baik.
Rakyat juga hairan kenapa dakwat kekal di negara kita menjadi begitu
kalut sedangkan penggunaannya di India dan Bangladesh tidak pernah
timbul masalah dan sudah digunakan sejak puluhan tahun lamanya. Jika
susah sangat, import saja dakwat yang sama yang digunakan di kedua-dua
negara itu!
Dalam hal ini, memang tiada alasan lagi untuk Pengerusi dan Timbalan
Pengerusi SPR mempertahankan diri mereka. Sudah sampai masanya mereka
secara sukarela mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Tidak perlulah
berdolak-dalik lagi mengatakan perlantikan mereka atas perkenan Yang
Dipertuan Agong dan memaksa berundur kononnya mempertikaikan peranan dan
perlantikan baginda itu.
Terus mempertahankan benang basah hanya mengeruhkan lagi keadaan.
Letak jawatan dan biar orang lain yang lebih berwibawa memimpin SPR.
Memandanfkan pilihanraya kecil Kual Besut akan diadakan tidak lama lagi,
sebaiknya mereka mengundurkan diri sebelum pilihanraya itu berlangsung.
Ternampak sekarang, dengan pelbagai kemelut ini, merekalah yang
sebenarnya sedang mencemar nama baik Yang Dipertuan Agong, sistem
demokrasi dan Raja Berperlembagaan di negara ini dengan jawapan dan
hujah yang entah apa-apa dan ikut sedap mulut saja mengenai dakwat kekal
yang dipertaikaikan oleh seluruh rakyat Malaysia./anwaribrahim.blog
No comments:
Post a Comment