NOTIS

RADIO KOBAT FM

Friday 22 August 2014

SELAMAT BERKONGRES

Selamat Berkongres.  Kongres Parti KEADILAN Rakyat akan bermula hari ini 22 Ogos - 24 Ogos 2014 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam.  Hari ini adalah Kongress AMK dan Wanita.

Kongress Nasional pula bermula 23 Ogos (Sabtu) dan 24 Ogos 2014 (Ahad).  Semua Cabang di Pahang akan menghantar Perwakilan serta Pemerhati masing-masing dan mereka diminta melapor diri seawal jam 08.00 pagi di kaunter Pendaftaran.

Mudah-mudahan Kongres kali ini akan berjaya menyatukan kesemua ahli parti dan yang paling utama kita boleh mendengar amanat pimpinan kita apatah lagi kita baru saja menghadapi ujian krisis dalaman parti sewaktu pemilihan baru-baru ini dan juga krisis di dalam isu MB Selangor.

Tiada jalan mudah untuk kita bersatu melainkan kita mesti hormat dan patuh kepada pucuk pimpinan parti.  PKR bukan parti yang tidak boleh ditegur atau dikritik tetapi kita mempunyai nilai disiplin dan tangungjawab apabila kita mahu menegur parti.  Tanpa kritikan dan teguran, parti akan hanyut dan dipinggirkan, maka adalah wajib pimpinan dan pihak-pihak yang berkenaan mendengar setiap kritikan dan teguran dan berusaha sedaya upaya memperbaikinya.

Selamat Berkongres !!

Sunday 10 August 2014

BERIKAN HAK SEADILNYA KEPADA TS KHALID

Satu berita yang mungkin tidaklah mengejutkan sangat apabila MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat dari PKR.  Lazimnya di dalam mana-mana parti, sesiapa yang melanggar arahan dan disiplin parti mempunyai peluang yang amat cerah untuk disingkirkan.

TS Khalid seorang yang baik dan pandai menguruskan negeri.  Tetapi parti mungkin merasakan kepandaian menguruskan negeri tidak mencukupi untuk mengekalkan negeri yang telah ditawan oleh PR selama memasuki dua penggal.  Kebijaksanaan di dalam mengatur strategi dan helah mendepani muslihat musuh amat penting kerana perjuangan politik umpama berperang.

Sifat ini dilihat oleh parti tiada pada MB Selangor ini.  Bahkan, beliau dilihat seperti 'one man show' di dalam pentadbirannya, seolah-olah beliau tidak berparti dan tidak mempunyai nakhoda.  Benar, beliau mendapat sokongan kuat dari rakan kita iaitu PAS, tetapi harus diingat beliau bukan ahli PAS.  Beliau tidak wajar 'wala' kepada PAS sehinggakan hilang hormat kepada parti.  Kita juga tidak berkenan jika ada ahli PAS yang lebih taat kepada Anwar berbanding Presiden mereka.  

Apa pun yang berlaku, kita harap TS Khalid diberi keadilan sewajarnya sama seperti orang lain.  Beliau berhak untuk merayu dan rayuan beliau wajib didengari dan dipertimbangkan secara adil oleh parti.  Ini harapan kita agar PKR dilihat bukan saja berani menghadapi risiko tetapi dilihat mempunyai nilai budi yang baik.

Tuesday 5 August 2014

Ada Perbincangan Untuk Singkir Khalid Dari PKR



KLANG: Terdapat perbincangan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR dalam mesyuarat biro politik parti itu pada Ahad, kata pengarah strategik PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan tidak dicapai melalui perbincangan tersebut.

"Sama ada beliau akan dipecat atau tidak, anda mesti bertanya kepada lembaga disiplin," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam untuk menjelaskan mengapa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail harus menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, Isnin.

Beliau berkata majlis makan malam yang sama akan diadakan untuk memberitahu ahli-ahli parti dan akar umbi kenapa Abdul Khalid tidak patut memikul tugas tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Rafizi mengulangi bahawa Abdul Khalid tidak bekerja dengan baik dengan ahli-ahli parti yang lain.

"Setiap kali apabila beliau (Khalid) mencipta isu, Anwar Ibrahim perlu datang dan berkata sesuatu.

"Berapa lama perkara ini perlu berlaku? Sebab itu PKR meminta beliau digantikan dengan Kak Wan (Dr Wan Azizah)," katanya.

Rafizi juga mencabar Abdul Khalid untuk bertindak balas terhadap Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, yang mendakwa Abdul Khalid menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Besar.

Beliau juga mengutuk perjanjian air antara negeri dan Persekutuan, yang didakwa berat sebelah.

Dr Wan Azizah, sementara itu, berkata mesyuarat di antara Khalid, pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirinya bagi membincangkan krisis Menteri Besar masih belum berlaku.

Dalam ucapan ringkas beliau, Dr Wan Azizah, menyifatkan Khalid sebagai "pemimpin yang baik yang telah mencipta asas yang kukuh untuk membawa negara ke hadapan".

"Tetapi semua tugas tidak boleh dilakukan berseorangan.

"Kita memerlukan seseorang yang mendengar, berjumpa dan berbincang dengan semua orang sebelum mengambil sesuatu langkah," katanya sebelum bergegas ke acara lain.