NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday 29 April 2014

PILIHAN LOKASI MATC/PEMILIHAN CABANG PAYA BESAR DI TAMAN TAS AMAT TEPAT

Sepertimana yang telah diputuskan oleh JPP, MATC dan pemilihan bagi Cabang Paya Besar telah ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan, kemungkinannya pada 10 Mei 2014.  Cabang Paya Besar sepatutnya mengadakan MATC dan pemilihan serentak dengan kesemua Cabang di Negeri Pahang pada 26 April 2014 baru-baru ini, namun terpaksa ditunda atas sebab-sebab teknikal.

Di antara faktor besar tarikh tersebut dipinda adalah bagi menetapkan semula Pusat Pengundian.  Pusat Pengundian yang telah dikemukakan kepada JPP telah mendapat bantahan.  Sehubungan itu, Cabang Paya Besar telah mengadakan perjumpaan bersama AJK Cabangnya untuk memutuskan Pusat Pengundian yang sesuai.

Di dalam perbincangan AJK Cabang Paya Besar yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabangnya iaitu Sdr Arman, maka kesemuanya bersetuju untuk memilih Pejabat Ranting PKR Taman Tas yang baru dibuka untuk dijadikan sebagai tempat MATC dan pemilihan.  Pemilihan tempat ini dibahaskan dan masing-masing menyimpulkan bahawa tempat ini sesuai berdasarkan faktor-faktor berikut:

1.  Mesyuarat parti adalah releven dan sewajarnya digalakkan diadakan di Pejabat Parti itu sendiri.
2. Mengadakan MATC/Pemilihan di pejabat baru tersebut adalah sebagai salah satu pendekatan terbaik untuk mempromosikan pejabat berkenaan kepada ahli-ahli parti.
3. Mengadakan MATC/pemilihan seperti lokasi awal yang dicadangkan iaitu di rumah Cikgu Zul di Permatang Badak dianggap merendahkan imej parti seolah-olah Cabang PKR hanya bergantung kepada rumah penyokong bagi mengadakan mesyuarat, tambahan pula sedikit sebanyak mengganggu tuan punya rumah sepanjang MATC atau pemilihan itu nanti.
4.   Tiada unsur-unsur pilih kasih berlaku jika diadakan di Ranting Taman Tas kerana lokasinya berada di tengah-tengah kawasan Paya Besar dan ini memudahkan kehadiran ahli-ahli ke MATC/pemilihan, tambahan pula lokasinya berada di sebuah Pekan yang amat dikenali di sini.
5.  Tidak timbul lokasi yang dipilih ini menguntungkan mana-mana calon yang bertanding kerana setiap calon sudah tentu akan menentukan para penyokongnya untuk hadir beramai-ramai dan tidak masuk akal lokasi boleh membuatkan ahli-ahli mengubah pilihan masing-masing.

Sehubungan itu, amat tidak wajar samasekali calon-calon yang bertanding menjadikan alasan remeh temeh ini untuk mencari keuntungan politik peribadi.  Berfikirlah secara terbuka dan matang agar MATC/pemilihan kali ini berjalan dengan licin dan teratur.

Sesiapa jua yang menang atau tewas, apa yang penting PKR Cabang Paya Besar harus diutamakan dari kepentingan diri. 

No comments:

Post a Comment