NOTIS

RADIO KOBAT FM

Wednesday, 7 May 2014

TUNDA LAGI, MATC/PEMILIHAN CABANG PAYA BESAR PADA 17 MEI INI

Di Pahang, MATC dan pemilihan di semua Cabang kebanyakannya berjalan lancar dan teratur tanpa menimbulkan kekecuhan atau huru-hara seperti di beberapa negeri.  Hanya terdapat dua Cabang sahaja yang perlu diadakan MATC/Pemilihan pada 17 Mei ini atas beberapa sebab teknikal sepertimana yang telah diumumkan oleh JPP.
Cabang-Cabang berkenaan adalah Cabang Jerantut dan Paya Besar.  MATC/Pemilihan bagi Cabang-Cabang ini akan bermula mulai jam 09.00 pagi dan pemilihan/pengundian akan dibuat pada jam 10.00 pagi sejurus tamat MATC.  Lokasi untuk MATC/Pemilihan tidak berubah mengikut lokasi terakhir yang ditetapkan oleh JPP.
Untuk makluman, segala urusan MATC adalah dibawah kuasa PKR Pusat dan PKR Negeri bertanggungjawab di dalam aspek pentadbiran dan perjalanan MATC.  Berbeza dengan Pemilihan/Pengundian, semuanya adalah di bawah tanggungjawab JPP (Jabatan Pilihanraya Pusat) dan PKR Negeri tidak boleh mencampuri urusan pemilihan melainkan sekiranya diperlukan oleh JPP bagi membantu di dalam urusan tenaga kerja atau persiapan tempat pemilihan.  
Sehubungan itu, adalah tidak benar jika ada dakwaan bahawa PKR Negeri boleh mengatur lokasi atau menentukan siapakah calon yang bertanding atau tidak layak bertanding.  Kuasa menentukan kelayakan seseorang calon adalah kuasa mutlak JPP.  Sekiranya terdapat sebarang bantahan terhadap prosedur pemilihan mahu pun kelayakan calon, maka JPP telah menyediakan borang bantahan untuk dikemukakan kepada JPP.  Kita penuh yakin JPP akan meneliti setiap aduan dengan adil berpandukan tatacara dan undang-undang serta Perlembagaan Parti yang sedia ada sebelum memutuskan tindakan terhadap setiap aduan.
PKR Negeri berharap agar MATC/Pemilihan bagi kedua-dua Cabang ini akan dapat berjalan dengan baik dan lancar.  Jangan timbulkan kekecuhan sekiranya merasa tidak puas hati terhadap apa jua sewaktu pengundian.  Gunakan saluran yang sedia ada bagi menyuarakan bantahan dan ketidak puasan hati.  Harus diingat, JPP sahaja yang akan mengesahkan sesiapa yang menang dan terpilih, manakala jumlah undian yang diperolehi oleh seseorang calon belum boleh disahkan sebagai pemenang sebelum disahkan oleh JPP.  Ini adalah bagi membolehkan JPP menyiasat sebarang aduan (jika ada) sebelum mengesahkan keputusan.
 
Sumber:  Blog PKR Pahang

Monday, 5 May 2014

MATC/PEMILIHAN CABANG PAYA BESAR BERTUKAR LAGI?

Ditukar lagi.  Itulah yang berlaku apabila JPP cuba berlaku seadil mungkin bagi menjayakan MATC Cabang Paya Besar yang telah ditunda kepada 10 Mei ini.  Ini semua kerana beberapa lokasi saling mendapat bantahan sehinggakan cadangan untuk diadakan di Pejabat Ranting PKR Taman Tas, di dalam Cabang Paya Besar pun dibantah.  

Sewajarnya MATC diadakan di pejabat parti tidak kira di mana asalkan di dalam kawasan Paya Besar.  Contohnya, MATC dan pemilihan di Cabang Indera Mahkota telah diadakan di Pusat Khidmat Adun Semambu, sedangkan Adun berkenaan juga bertanding sebagai Ketua Cabang.  Tiada bantahan pun dari lawannya.  Begitu juga MATC dan pemilihan di Cabang Kuantan telah diadakan di Pejabat MP Kuantan, sedangkan MP Kuantan YB Fuziah Salleh juga bertanding.  Tiada bantahan pun dari lawannya.  Ertinya mereka matang di dalam politik.

Berbeza dengan Cabang Paya Besar.  Akhirnya, terbaru pihak JPP memutuskan MATC dan pemilihan bagi Cabang Paya Besar akan diadakan di luar kawasan Paya Besar iaitu di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan.  Pelik juga dan sedikit sebanyak memalukan Cabang Paya Besar seolah-olah kita tidak mempunyai alternatif lain.  

Apa pun keputusan telah dibuat.  Perebutan Ketua Cabang Paya Besar menyaksikan pertandingan dua penjuru iaitu melibatkan Sdr Kamarzaman (SU PKR Negeri) dan Sdr Jefri Jaafar, mantan calon Dun Lepar di dalam PRU 13 yang lalu.  Diharapkan petandingan ini akan berlangsung dengan penuh etika dan adab kesopanan serta penuh semangat setiakawan.


Tuesday, 29 April 2014

PILIHAN LOKASI MATC/PEMILIHAN CABANG PAYA BESAR DI TAMAN TAS AMAT TEPAT

Sepertimana yang telah diputuskan oleh JPP, MATC dan pemilihan bagi Cabang Paya Besar telah ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan, kemungkinannya pada 10 Mei 2014.  Cabang Paya Besar sepatutnya mengadakan MATC dan pemilihan serentak dengan kesemua Cabang di Negeri Pahang pada 26 April 2014 baru-baru ini, namun terpaksa ditunda atas sebab-sebab teknikal.

Di antara faktor besar tarikh tersebut dipinda adalah bagi menetapkan semula Pusat Pengundian.  Pusat Pengundian yang telah dikemukakan kepada JPP telah mendapat bantahan.  Sehubungan itu, Cabang Paya Besar telah mengadakan perjumpaan bersama AJK Cabangnya untuk memutuskan Pusat Pengundian yang sesuai.

Di dalam perbincangan AJK Cabang Paya Besar yang diketuai oleh Timbalan Ketua Cabangnya iaitu Sdr Arman, maka kesemuanya bersetuju untuk memilih Pejabat Ranting PKR Taman Tas yang baru dibuka untuk dijadikan sebagai tempat MATC dan pemilihan.  Pemilihan tempat ini dibahaskan dan masing-masing menyimpulkan bahawa tempat ini sesuai berdasarkan faktor-faktor berikut:

1.  Mesyuarat parti adalah releven dan sewajarnya digalakkan diadakan di Pejabat Parti itu sendiri.
2. Mengadakan MATC/Pemilihan di pejabat baru tersebut adalah sebagai salah satu pendekatan terbaik untuk mempromosikan pejabat berkenaan kepada ahli-ahli parti.
3. Mengadakan MATC/pemilihan seperti lokasi awal yang dicadangkan iaitu di rumah Cikgu Zul di Permatang Badak dianggap merendahkan imej parti seolah-olah Cabang PKR hanya bergantung kepada rumah penyokong bagi mengadakan mesyuarat, tambahan pula sedikit sebanyak mengganggu tuan punya rumah sepanjang MATC atau pemilihan itu nanti.
4.   Tiada unsur-unsur pilih kasih berlaku jika diadakan di Ranting Taman Tas kerana lokasinya berada di tengah-tengah kawasan Paya Besar dan ini memudahkan kehadiran ahli-ahli ke MATC/pemilihan, tambahan pula lokasinya berada di sebuah Pekan yang amat dikenali di sini.
5.  Tidak timbul lokasi yang dipilih ini menguntungkan mana-mana calon yang bertanding kerana setiap calon sudah tentu akan menentukan para penyokongnya untuk hadir beramai-ramai dan tidak masuk akal lokasi boleh membuatkan ahli-ahli mengubah pilihan masing-masing.

Sehubungan itu, amat tidak wajar samasekali calon-calon yang bertanding menjadikan alasan remeh temeh ini untuk mencari keuntungan politik peribadi.  Berfikirlah secara terbuka dan matang agar MATC/pemilihan kali ini berjalan dengan licin dan teratur.

Sesiapa jua yang menang atau tewas, apa yang penting PKR Cabang Paya Besar harus diutamakan dari kepentingan diri. 

Wednesday, 2 April 2014

UMUM TANDING KETUA CABANG PAYA BESAR

Setelah memikirkan semasak-masaknya apabila mendapat nasihat dan pandangan dari rakan-rakan dan beberapa pihak, saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk bertanding Jawatan Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar pada pemilihan (MATC) yang akan diadakan tidak beberapa lama lagi.

Di antara faktor saya mahu menyumbangkan jasa bakti, tenaga dan buah fikiran secara lebih efisyen kepada parti terutamanya di Paya Besar untuk menjawat Jawatan Ketua Cabang ini adalah seperti berikut"
 
 

-  Menyedari bahawa Cabang Paya Besar mesti dihidupkan semula setelah terencat sedikit apabila Ketua Cabangnya Tuan Hj Zahari Mamat mengambil keputusan keluar parti menjelang PRU 13 yang lalu.

-  Menyahut cabaran dari kepimpinan negeri yang mahu melihat Cabang Paya Besar menjadi lebih kuat dan kukuh walaupun menjelang PRU 13 yang lalu berbagai kemelut dan krisis di Cabang ini sedikit sebanyak menjejaskan gerak kerja parti di Cabang.

-  Ingin menjadikan kawasan felda sebagai sasaran utama dan cabaran bagi memperkuatkan parti sebagai persediaan menghadapi PRU 14 akan datang.

-  Memperkuatkan kerjasama dengan rakan-rakan dari PAS dan DAP di kawasan ini di samping akan melengkapkan semua jentera di Ranting Cabang ini agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kekuatan jentera rakan di dalam PR.

-  Ingin membuktikan tidak mustahil kubu Umno yang kuat di kawasan ini boleh ditembusi asalkan gerak kerja yang bersistematik dan berterusan dapat dilaksanakan.

-  Ingin memperkuatkan persefahamanan dan persaudaraan sesama ahli di Cabang Paya Besar bagi memantapkan jentera parti di semua peringkat.

Sehubungan itu, saya memohon agar ahli-ahli KEADILAN di Cabang Paya Besar boleh membantu saya merealisasikan tujuan-tujuan murni di atas demi kebaikan bersama.

Saya bersedia menerima amalan demokrasi yang sihat dan mengharapkan perkara yang sama dapat diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menawarkan diri bertanding.

Thursday, 27 March 2014

SETIAP CABANG PKR HENDAKLAH ADAKAH CERAMAH PENERANGAN KEMPEN REFORMASI 2.0

Menjelang Reformasi 2.0 Peringkat Negeri Pahang pada 12 April 2014 (Sabtu) jam 09.00 malam nanti, adalah diharapkan setiap Cabang PKR Pahang terlebih dahulu mengadakan program penerangan atau ceramah berkaitan Reformasi di kawasan masing-masing.


Objektifnya adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat mengapa Reformasi 2.0 ini diadakan dan apakah matlamat reformasi ini.  Di samping itu, kempen penerangan di kawasan masing-masing adalah bertujuan untuk menarik seramai mungkin rakyat turun ke Padang Kemunting, Kuantan pada tarikh tersebut.

Ketua Cabang hendaklah menggunakan inisiatif tersendiri untuk menarik orang ramai menghadiri Reformasi 2.0 pada 12 April ini.  Sediakan risalah, hand bill, poster/banner di kawasan masing-masing untuk bersama kita bersolidariti pada hari tersebut.

Sehubungan itu, penting agar setiap Cabang mengadakan program ceramah mereka sebelum tarikh 12 April ini. 

Friday, 21 March 2014

ERA REFORMASI MUNCUL KEMBALI, AYUH MALAM INI DI KAJANG

Waktu rehat dari keletihan yang diharungi dalam usaha menyelamatkan negara ini melalui Pilihan Raya Umum ke-13 pada tanggal 5 Mei tahun lalu telah sampai ke penghujungnya. Kini sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersedia untuk aksi lebih besar.


Belum pun masuk setahun kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan pada PRU 13, mereka menunjukkan taring dengan menghukum bukan sahaja pemimpin politik lawannya, malah rakyat jelata turut menjadi mangsa kezaliman. Satu persatu pemimpin dan pejuang rakyat dalam rangka disumbat ke penjara, dalam masa sama juga satu persatu janji ‘Rakyat Didahulukan’ dicemari tanpa ehsan.

Justeru itu, ayuh kita tamatkan segera onar penderitaan rakyat dengan bersama melancarkan satu fasa gagasan perjuangan yang diperbaharui – #RakyatBangkit Reformasi 2.0 “Kembalikan Keadilan – Hentikan Kezaliman”.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai tuan rumah aksi kali ini menyeru kehadiran orang ramai pada malam ini, 21 Mac 2014 jam 8.30 malam di Stadium Kajang dalam aksi Pelancaran Jelajah #RakyatBangkit Reformasi 2.0. Ia sebuah himpunan permulaan, hadirlah dengan tema hitam sebagai lambang perlawanan, ini masanya rakyat menunjukkan kekuatan.

Penjelasan mengenai kecurangan sistem kehakiman dalam pengendalian rayuan kes Fitnah II ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes hasutan Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh akan dibarisi oleh Anwar dan Karpal sendiri selain Mat Sabu, Tian Chua, Anthony Loke, Dr Hatta Ramli, Chegu Bard dan Rafizi Ramli.

 
 
SAMM menggesa semua pihak bersatu, kerana rakyat yang bersatu tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana regim sekalipun. SAMM menjemput semua pihak bersama menjayakan hari besar titik mula perlawanan baru ini.

Siri himpunan #RakyatBangkit Reformasi 2.0 akan menjelajah ke seluruh negara sebelum hari kemuncaknya – bersama himpunan gergasi 1 Mei di medan jalan raya.

Kehadiran awal di sebelah petang amatlah digalakkan bagi memeriahkan program sebelumnya iaitu “Bersama Srikandi Masa Depan Negara” yang bermula jam 5 petang. Turut bersama dalam program 5 petang ialah YB Nurul Izzah Anwar, YB Rodziah Ismail, YB Kashturi Pato, YB Elizabeth Wong, Aishah, Aiman Athirah, Cikgu Mala, YB Fuziah Salleh, YB Dr Siti Mariah dan YB Hannah Yeoh.

Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard
Pengasas SAMM

Monday, 10 March 2014

WAN AZIZAH TETAP BUAT UMNO/BN TERTEKAN DI KAJANG

Akhirnya DS Wan Azizah terpilih menggantikan suaminya DS Anwar Ibrahim di PRK Dun Kajang.  Satu kejutan juga kerana ramai yang tidak meramalkan sedemikian, ramai yang menyebut bahawa kemungkinan besar terpilih adalah YB Rafizi atau Sdr Saifuddin Nasution dipilih untuk bertanding di situ.


Keputusan pimpinan PR meletakkan DS Wan Azizah bertanding di situ merupakan satu lagi kejutan yang tidak akan menyenangkan Umno/Bn.  Di dalam keadaan rejim berdepan dengan tekanan persoalan rakyat tentang misteri kehilangan Pesawat MAS MH 370 dan misteri Passport palsu, mereka sebenarnya lebih tertekan dengan agenda "Kajang Move" yang bakal memusnahkan riwayat Umno/Bn di dalam PRU 14 nanti.

Apa pun ada hikmahnya tragedi malang pesawat MAS yang 'ghaib' itu.  Kejadian itu mengajar rejim erti peranan kerajaan menjaga soal keselamatan negara dan rakyatnya yang sering PR tegur dan kritik.  Hikmahnya juga, isu Liwat II yang difitnahkan ke atas DS Anwar Ibrahim tidak dapat mereka lagu-lagukan melalui media haprak mereka.  Media kini sibuk dengan laporan tragedi malang yang berlaku tersebut.

Selaku pengamal politik dan rakyat Malaysia, saya menyeru semua agar kita mendoakan keselamatan kesemua mangsa yang terlibat agar mereka dilindungi Allah Subhanahu Wataala.