NOTIS

RADIO KOBAT FM

Tuesday, 8 May 2018

PESANAN DAN HARAPAN DARI CALON N19 PANCHING


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Saya, KAMARZAMAN BIN MOHAMED YUNUS atau lebih dikenali sebagai Pak Long mengucapkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti menjadi calon PRU 14 mewakili Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Dun Panching, Parlimen Paya Besar.

Saya dilahirkan di Raub, Pahang pada 01 Jun 1956 dan mendirikan rumahtangga dengan seorang pendidik yang juga berasal dari Maran, Pahang.  Sebagai anak jati Pahang, sudah semestinya saya amat memahami apa yang dialami oleh rakyat Negeri Pahang khususnya.  Sebagai bekas kakitangan yang pernah bertugas sebagai Pembantu Tadbir Felda (1977) dan sebagai kakitangan di LKPP (1981 -2011) serta terlibat memegang jawatan di dalam berbagai persatuan, saya banyak mengetahui tentang kehidupan rakyat di berbagai sektor.  Berpengalaman bekerja di sektor perladangan (felda dan LKPP) banyak membantu saya mengenali tentang kehidupan mereka.

Apabila saya diberikan amanah dan tanggungjawab untuk bertanding mewakili Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Panching, suatu kawasan yang rata-ratanya adalah kawasan Felda seperti Felda Panching Selatan, Felda Panching Timur dan Felda Panching Utara, termasuk beberapa perkampungan di pinggiran felda, saya merasakan amanah yang diberikan ini adalah ujian dan cabaran buat saya untuk mencuba sebaik mungkin bagi mengubah nasib warga felda, masyarakat kampung dan pekan-pekan kecil yang sekarang ini kehidupan mereka tidak terbela.    

Apabila kerajaan memperkenalkan sistem percukaian GST beberapa tahun yang lalu, kehidupan rakyat semakin tertekan.  Warga felda dihimpit dengan bebanan hutang sedangkan hasil jualan sawit pula tidak membantu menambah pendapatan mereka.  Berbagai skandal yang berlaku di dalam Felda telah memburukkan keadaan.  Generasi Kedua Felda pula seakan-akan dipermainkan dengan janji-janji manis menjelang Pilihanraya untuk mereka mendapatkan rumah kediaman, tetapi janji tinggal janji semata-mata.  Menjelang PRU 14 yang akan bermula 09 Mei 2018 ini, sekali lagi mereka dijanjikan dengan perumahan Generasi Kedua.  Apakah kita sanggup membiarkan ini berterusan?

Sehubungan itu, saya menerima tanggungjawab sebagai calon Keadilan dan Pakatan Harapan di N19 Panching dengan membawa hasrat dan cita-cita untuk membawa suara warga felda, masyarakat kampung serta seluruh rakyat khususnya di Dun Panching ini agar nasib mereka terbela.  Saya impikan kehidupan rakyat yang selesa dan diberi kebajikan seperti yang dilaksanakan di Negeri Selangor.  Pahang negeri kaya dan mampu untuk menjadi sebuah negeri berkebajikan seperti Negeri Selangor sekiranya rakyat Pahang memilih Pakatan Harapan.

Saya, dengan penuh rendah diri merayu dan memohon agar pengundi-pengundi di N19 Panching memberikan peluang kepada saya untuk menjadi wakil suara rakyat Panching.  Saya menyeru agar para pengundi untuk memilih Parti Keadilan di seluruh negeri Pahang khususnya dan seluruh Malaysia, amnya.

ALLAH TIDAK MENGUBAH NASIB SESUATU KAUM, KECUALI MEREKA MENGUBAHNYA

UNDI KEADILAN UNTUK PAKATAN HARAPAN

Selamat Mengundi.

KAMARZAMAN BIN MOHAMED YUNUS
Calon Keadilan
N19 Panching 

Monday, 12 February 2018

EDARAN BUAH LIMAU DAN RISALAH DI TAMAN TAS









Pagi Sabtu (10/2/18) jam 09.00 pagi, bertempat di Pekan Taman Tas, Keadilan Paya Besar telah membuat program edaran buah limau serta risalah sempena Menyambut Tahun Baru Cina di sekitar kawasan pasar pagi dan kedai-kedai makan.
 
Turut bersama adalah Adun Semambu YB Chean Chung serta Ketua Cbg Paya besar, Sdr Kamarzaman Mohamed Yunus serta AJK-AJK Cabang.

"Gong Xi Fa Chai"

Friday, 2 February 2018

GERAK KERJA KEADILAN DI DUN SG LEMBING DAN PANCHING DIPERHEBATKAN

Gerak kerja Keadilan di Dun Sg Lembing dan Panching sebenarnya telah lama bermula.  Gerak kerja samada secara berkelompok serta secara bersama dengan Pakatan Harapan di Paya Besar telah pun lama bermula.  Setakat ini kerjasama kami di dalam Pakatan Harapan Paya Besar amat baik, cuma kami perlu lebih banyak menyusun program-program yang akan melibatkan kesemua tiga Dun di dalam Parlimen Paya Besar.

Parlimen Paya Besar akan ditandingi oleh PPBM, manakala Keadilan akan bertanding di dua Dun dan Amanah di satu Dun.  Tidak beberapa hari lagi, Keadilan akan menubuhkan Bilik Gerakan Utama (BGU) di Dun Sg Lembing, kemudian disusuli pula di Dun Panching.  Manakala perancangan seterusnya kami akan mengadakan program kelompok di Felda Lepar bersama Pakatan Harapan.  Selain dari program bersama, parti-parti di dalam Pakatan Harapan juga mempunyai perancangan masing-masing yang sudah pastinya akan diberi kerjasama sebaiknya oleh rakan-rakan yang lain.

Penyelaras Dun Sg Panching, Sdr Kamarzaman Mohamad Yunus menaruh keyakinan bahawa warga felda akan melakukan perubahan besar di dalam PRU14 akan datang, namun mengharapkan momentum perubahan sahaja tidak mencukupi tanpa gerak kerja dan strategi.  Atas faktor itulah Keadilan Paya Besar akan terus menggerakkan jenteranya berlipatganda memandangkan tarikh PRU14 semakin hampir.

Kami menyeru kepada mana-mana individu khususnya yang berada di Paya Besar yang mahu menjadi sukarelawan Pakatan Harapan agar boleh mendaftarkan diri mulai sekarang.  Sila berikan nama penuh, No KP, alamat dan No Tel anda kepada SU Keadilan Paya Besar, Sdr WFauzdin NS di No Tel 013-9410309.  

Wednesday, 8 November 2017

KEMPEN KUMPULAN OKU UNTUK " BEBASKAN ANWAR, SELAMATKAN MALAYSIA " (BASM) TIBA DI PAHANG HARI INI (RABU-08 NOV 17)


Anggota KEADILAN yang juga seorang individu kelainan upaya, Isaiah Jacob bersama kumpulannya telah melancarkan kempen Jelajah 51 Hari bagi mendesak pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula pada 21 Oktober lalu, anggota KEADILAN dari Pulau Pinang itu telah berpuasa dan berjalan ke seluruh negara bersama 50 orang lain bagi menyampaikan mesej menuntut pembebasan Anwar.

Ahli KEADILAN, Isaiah D Jacob, berkata inisiatif itu sebahagian kempen petisyen untuk membebaskan bekas ketua pembangkang itu kerana percaya Anwar “tidak bersalah”.

“Saya mahu menyampaikan mesej kepada rakyat dan berharap Agong akan mendengar mesej kami bahawa Anwar tidak patut dipenjara dan harus dibebaskan segera,” katanya dalam Sidang Akhbar yang telah diadakan sebelum ini.

Kempen ini akan tiba di Pahang bermula hari ini (08 Nov 17) mengikut jadual seperti berikut:

8 Nov 2017 (Parlimen Indera Mahkota)

Ketibaan Tim BASM dari Terengganu ke Indera Mahkota.
(Bermalam di Pusat Komuniti DUN Semambu)

9 Nov 2017

7.00am - 12.00am - Parlimen Paya Besar

- Sarapan Pagi di Restoren Zaman, Bt 6 Jln Gambang

- Berjalan memasuki Sg Lembing

2.00pm - 5.00pm (Parlimen Kuantan)

Jelajah di.Parlimen Kuantan

0830pm - 1145pm (CERAMAH - Indera Mahkota)

Ceramah Kelompok di Markas Ranting Indera Mahkota 1


Penceramah:

YB Dato' Fauzi Abdul Rahman
YB Lee Chean Chung
YB Manivanan
Sdr Kamarzaman
Sdr Zukri Aksah
Sdr W. Fauzdin
Sdr Isaiah Jacob

10 Nov 2017

8.30am - 12.00am (Parlimen Maran)

Jelajah Bandar Maran

4.00pm - 5.00pm (Parlimen Bera)

Jelajah di Felda Purun

0630pm - 1145pm (Parlimen Temerloh)

Edaran Risalah di Pasar Malam Mentakab

Ceramah Kelompok di BGU Tmn Saga Mentakab

Penceramah:

YB Fuziah Salleh
YB Lee Chean Chung
YB Sim Choon Siang
YBM Tengku Zulpuri
YB Tuan Syed Hamid
Sdr Isaiah Jacob
Sdr Kamarzaman (Pak Long)
Sdr Zukri Akshah
Sdr W. Fauzdin

Team Jelajah Bermalam di BGU Tmn Saga Mentakab

11 Oktober 2017

8.30am - 10.00 am (Parlimen Bentong)

Jelajah Bandar Bentong

Berkumpul depan Pej Dap Bentong

4.00 pm - 7.00 pm (Parlimen Lipis)

Jelajah Pekan Sari Pdg Tengku Lipis & Pasar Malam Benta

Wednesday, 1 November 2017

MENGAPA KENA PILIH PAKATAN HARAPAN ?

 
 
PAKATAN HARAPAN DENGAN CITA-CITA ISLAM

Pakatan Harapan mahu lakukan di antaranya perkara2 ini jika berkuasa seperti yg terkandung di dalam Bajet PH;

1. Hapuskan GST, cukai yg mendera rakyat. (Tidak bertentangan dgn Islam, bahkan wajib dihapuskan)

2. Pendidikan percuma dan bantu selesaikan siberhutang PTPTN. (Dianjurkan oleh Islam)

3. Gaji minima RM 1, 500 sekaligus meningkatkan simpanan KWSP atau pencen buat kakitangan kerajaan (Bukan One Off atau beri sekali dlm setahun atau 5 tahun) dan ianya satu usaha yg baik mengikut Islam)

4. Skim sewa beli bagi menyediakan rumah mampu milik (Tanggungjawab kerajaan menyediakan tempat tinggal buat rakyat, satu suruhan agama).

5. Menghapuskan rasuah, bermula dari atas kerana "ikan busuk bermula dari kepala" (Kewajipan utk melaksanakannya ikut Islam).

6. Mempertingkatkan prestasi felda tanpa ada campurtangan politik yang selalu merosakkan felda (Tidak bertentangan dgn Islam, bahkan wajib memperbaiki kerosakan yg sedia ada)

7. Menghapuskan tol di seluruh negara dengan cara membeli semua konsesi tol yg banyak mencekik darah rakyat (usaha yg baik dan tidak bertentangan dgn Islam).

8. Menaikkan royalti minyak kpd 20% kepada negeri2 yg menghasilkan minyak iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak (Tidak bertentangan dgn Islam).

9. Untuk wanita, cuti bersalin 120 hari dan gaji yg setara dgn kaum lelaki (amalan kebajikan yg dituntut oleh Islam).

10. Dana pembangunan untuk Sabah dan Sarawak sebanyak RM 75 Bilion agar kedua2 negeri tersebut sama taraf dengan kemajuan di Semenanjung (Keadilan seperti ini dituntut oleh Islam).

Ini tidak termasuk beberapa lagi agenda reformasi yg mahu dilaksanakan oleh Pakatan Harapan sekiranya diberi peluang menjadi kerajaan memerintah negara ini.

Kesemua di atas tiada satu pun yang menyalahi Islam, bahkan dituntut atau digalakkan oleh Islam. Maka, mengundi Pakatan Harapan atas nawaitu untuk mencapai cita2 di atas yg dituntut dan digalakkan oleh Islam itu, maka InsyaAllah, kita dapat pahala.

Apa yg haramnya?

Jelas, yg haram itu adalah memberi ruang, membantu samada secara langsung atau tidak kepada Umno/Bn terus memerintah dgn kezalimannya seperti sekarang, itu jelas haram. Begitu juga jika hanya bercakap tentang Islam tetapi tiada cita2 untuk mengubah negara yg rosak, sekadar mahu menjadi Wakil Rakyat di 40 Kerusi untuk jadi "King Maker" atau "Penasihat", amatlah malang sekali. 
 
Sumber: FB Wfauzdin NS

Thursday, 5 October 2017

MARI TURUN BERAMAI-RAMAI PADA 14 OKT INI DI PADANG TIMUR, MBPJ



KEADILAN Cabang Paya Besar menyeru kepada semua ahli dan penyokong untuk hadir di Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" pada 14 Oktober 2017 jam 04.00 petang bertempat di Padang Timur, MBPJ, Petaling Jaya (berhampiran Pejabat PPBM).

Kehadiran anda semua membuktikan bahawa anda adalah di antara jutaan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan berlaku di negara ini.  Rakyat Negeri Pahang, khususnya di kalangan warga felda amat tertekan dan merasai bebanan dengan kos sara hidup yang tinggi akibat salah urus negara dan penyelewengan.  

Sehubungan itu, marilah kita beramai-ramai hadir ke himpunan tersebut bagi menyuarakan rasa tidak puas hati kita terhadap apa yang berlaku di negara ini sekarang.

Tuesday, 15 August 2017

CERAMAH ISU2 SEMASA DAN ISU2 FELDA - SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI DI SPG KEPAYANG, BERA PADA HARI SABTU INI (19/817) JAM 08.00 MLM

CERAMAH ISU2 SEMASA DAN ISU2 FELDA - SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI DI SPG KEPAYANG, BERA PADA HARI SABTU INI (19/817) JAM 08.00 MLM
 

PENCERAMAH UTAMA:

1. YB Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail - Presiden Pakatan Harapan/Presiden KEADILAN

2. Tuan Hj Muhamad Sabu - Timbalan Presiden Pakatan Harapan/ Presiden AMANAH

3. YB Dato' Mohd Rashid Hasnon - TKM P.Pinang

4. Sdr Zahid Md Arip - MPT PPBM

5. Sdr M. Manogaran - Mewakili DAP

6. Sdr Mazlan Aliman - Pengerusi ANAK/AJK AMANAH Pusat

7. Tan Seri Muhamad Muhd Taib - Bekas MB Selangor

8. YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - Pengerusi KEADILAN Pahang

9. Sdr Zakaria Abdul Hamid - Ketua Keadilan Cabang Bera

Serta pimpinan2 Pakatan Harapan tempatan.

Orang ramai dijemput hadir. Mohon hebahkan.

Saturday, 5 August 2017

Anwar gesa beri ruang untuk Dr Mahathir berjuang bersama

Ketua Umum KEADILAN merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai terutamanya aktivis Reformasi yang terkesan dengan kehadiran TunDr Mahathir Mohamad dalam gabungan pembangkang untuk “memberi ruang” kepada bekas perdana menteri yang pernah memenjarakannya itu untuk “berjuang bersama”.

Seruan itu dibuat Anwar menerusi sepucuk surat yang dinukilkan khas untuk merakam pandangannya tentang reaksi terkini aktivis-aktivis reformasi yang setia menolak kezaliman yang pernah berlaku kepada dirinya. 
 

Berikut adalah isi kandungan kenyataan beliau di dalam surat itu:

Rakan-rakan dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Otai Reformasi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan badan Islam serta aktivis mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merangkul Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan PH.

Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda perubahan. Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.

Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini.

Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin, yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat dan dihebah di media milik Umno BN.

Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya.

Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambil kira rintihan, denyut nadi rakyat. Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama daripada gerakan rakyat.

Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya – dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH.

PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.

Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi.

Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah Umno BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil mahakaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang.

PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman.

Penghayatan Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.

Pada hemat saya kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.

Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani. Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat.

Struktur PH tidak boleh disamakan dengan BN. PH adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti. Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.

Dasar bersama yang dipersetujui didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh PH.

Kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta wewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.

Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi PH dan menegur atau mengemukakan cadangan.

Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14. Sistem pilihanraya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan. Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya.

Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai “penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara.”

Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya; hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut dikhianati.

Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar. Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah licik mengaburi mata peneroka dan rakyat.

Kecurangan berleluasa dan kerugian kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan selainnya terus dilindungi.

Menjelang pilihan raya umum ke-14, Umno BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.

PH dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta.

Anwar Ibrahim

30 Julai 2017

Tuesday, 11 July 2017

NAJIB YANG SEPATUTNYA TINGGALKAN DUNIA POLITIK

Kenyataan Media | 10 Julai 2017

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang untuk meninggalkan pentas politik.

Semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga tokoh ini sememangnya digeruni oleh Umno BN kerana sering memperjuangkan permasalahan rakyat.

Bukankah lebih baik sekiranya Khairy menasihatkan pimpinan dalam partinya sendiri yang terpalit dengan rasuah dan kegagalan mentadbir ekonomi negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meninggalkan politik?

Jangan secara berterusan untuk memperdayakan rakyat yang berfikiran waras untuk menilai, siapa yang memberi manfaat dan siapa pula yang merosakkan negara.

Adakah dengan gesaan seperti ini hanya akan lebih memudahkan pemimpin UMNO-BN untuk terus merompak hasil kekayaan negara? Cukuplah negara kini sudah terpalit dengan pelbagai isu seperti 1MDB.

Dengan pelbagai isu yang menghantui kehidupan seharian rakyat seperti bebanan kos sara hidup, kenaikan harga barangan, penghapusan subsidi, GST, rasuah dan penyelewengan duit rakyat.

Saya yakin pada PRU akan datang, rakyat akan menilai sendiri dan menuntut perubahan agar negara tidak lagi ditadbir oleh golongan penyamun dan perompak.


NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Friday, 16 June 2017

PROGRAM ZIARAH RAMADHAN KEADILAN PAYA BESAR

KEADILAN Cabang Paya Besar telah melakukan program ziarah sempena Bulan Ramadan ke kawasan Felda Sg Panching, Sg Lembing dan beberapa kawasan di Taman Tas.  Di dalam kunjungan itu, kami sempat menyampaikan sedikit bantuan kepada beberapa orang yang memerlukan bantuan.

Sumbangan berupa bahan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain termasuk sedikit kurma.  Di samping itu, kami juga turut mengedar akhbar Suara Keadilan dan Selangor Kini.  Berikut adalah beberapa foto yang sempat dirakamkan.


Monday, 5 June 2017

MAJLIS BERBUKA PUASA PAKATAN HARAPAN PAYA BESAR


Masuknya bulan mulia Al Mubarak, Bulan Ramadhan, Keadilan Cabang Paya Besar bersama-sama rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan Paya Besar telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa secara sederhana pada 03 Jun 2017 (Sabtu) bertempat di perkarangan Pejabat PPBM Bahagian Paya Besar, Kuantan.

Semua pimpinan Pakatan Harapan Paya Besar telah hadir bersama-sama AJK masing-masing pada majlis tersebut.  Ketua Cabang Keadilan Paya Besar tidak dapat menghadirkan diri di saat-saat akhir kerana terlibat di dalam mesyuarat JPRN seterusnya menghadiri Kursus JPRP di Kuala Lumpur.  Wakil Ketua Cabang, Mr Siew selaku Timbalan Ketua Cabang telah hadir.

Semua pimpinan telah memberikan sedikit ucapan menyambut Ramadhan.   Sebelum masuk waktu berbuka, sedikit tazkirah telah diberikan.

Program mensasarkan kehadiran jemputan seramai 150 orang, tetapi jumlah yang hadir adalah sekitar 160 orang.  Ini satu perkembangan yang amat baik bagi Pakatan Harapan Paya Besar.  Semangat kerjasama Pakatan Harapan khususnya di Paya Besar sekarang ini amat terbaik, semoga ianya terus berkekalan.  










Friday, 5 May 2017

EDAR AKHBAR SELANGORKINI DAN SUARA KEADILAN DI PASAR MALAM GAMBANG








Petang semalam, Khamis (04/5/17) jam 05.00 petang, KEADILAN Cabang Paya Besar telah mengadakan program mengedar akhbar SelangorKini dan Suara Keadilan di Pasar Malam, Jln Gambang - Muadzam.

Ketua Cabang bersama beberapa AJK Cabang telah turun menjayakan program ini.  Alhamdulillah, sebanyak 200 keping akhbar SelangorKini dan Suara Keadilan telah berjaya diedarkan kepada pengunjung-pengunjung pasar tersebut.

Tujuan program ini, di samping untuk mendekati rakyat di akar umbi, Keadilan ingin menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang apa yang berlaku di Selangor dalam aspek pentadbiran berbanding dengan negeri-negeri di bawah Kerajaan Umno/Bn.  Rakyat juga akan mendapat maklumat isu-isu semasa negara melalui Suara Keadilan.

Terima kasih kepada petugas-petugas yang membantu program ini. 

Saturday, 1 April 2017

PAYA BESAR - DUA DUN SASARAN KEADILAN

Kerjasama di antara Keadilan Cabang Paya Besar dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan, Amanah serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus dipertingkatkan.  Meskipun di Paya Besar tiada cawangan Dap, namun wakil dari Dap juga sering dilibatkan di dalam beberapa program di Paya Besar khususnya di kawasan-kawasan pekan kecil.

Di dalam PRU14 akan datang, Keadilan mensasarkan sekurang-kurangnya dua Dun untuk ditandingi, manakala rakan-rakan dari Amanah serta PPBM juga turut berminat untuk bertanding di Parlimen serta Dun.  Setakat ini, Alhamdulillah, Pakatan Harapan Paya Besar telah berjaya berunding serta membincangkan tentang peruntukan Kerusi bagi parti masing-masing.

Apa yang menjadi fokus kami di Paya Besar adalah merancakkan lagi aktiviti serta program-program di akar umbi terutamanya di kawasan-kawasan felda yang 90% adalah kawasan di Parlimen Paya Besar.  Beberapa program sebelum ini seperti ceramah, pendaftaran serta penyemakan alamat mengundi, edaran risalah dan akhbar SelangorKini akan diteruskan dan dipergiatkan.  Kami sedar, tidak mudah untuk mendekati dan memujuk warga felda agar melakukan perubahan, namun semuanya kami anggap sebagai ujian yang wajib kami tempuhi.

Parlimen Paya Besar sememangnya kubu kuat Umno, namun rekod menunjukkan Keadilan tidak pernah hilang deposit apabila bertanding di kawasan kubu mereka.  Ini menunjukkan Keadilan serta Pakatan Harapan mempunyai masa depan yang cerah di kawasan ini apatah lagi dengan beberapa isu besar yang melanda negara termasuk isu-isu yang melibatkan kepentingan warga felda sendiri.  Apa yang perlu kami lakukan adalah terus menyampaikan maklumat-maklumat ini melalui apa jua cara.

Kerjasama dari semua AJK Cabang Paya Besar serta rakan-rakan dari Pakatan Harapan harus dipertingkatkan lagi bagi merealisasikan hasrat untuk melakukan perubahan di Paya Besar.

 

Tuesday, 24 January 2017

KEADILAN PAYA BESAR DAN ADUN SEMAMBU SAMPAIKAN BUAH LIMAU DI TAMAN TAS SEMPENA TAHUN BARU CINA


Hari ini, Ketua Cabang Paya Besar, Sdr Kamarzaman bersama Adun Semambu, YB Lee Chean Chung bersama beberapa AJK Cabang Keadilan Paya Besar telah menyantuni masyarakat kaum Cina di sekitar Taman Tas, Kuantan di samping mengagihkan buah limau kepada mereka.

Keadilan Cabang Paya Besar mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina yang menyambut perayaan tersebut dengan harapan agar tahun baru ini akan membuka lembaran baru buat negara kita ke arah yang lebih baik.


Thursday, 1 December 2016

FELDA RUGI ?


Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2) mendedahkan Felda mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.

Laporan tersebut turut berkata Felda mengalami kerugian sebanyak RM28 juta membabitkan empat anak syarikat dan syarikat dibawah kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.

Syarikat tersebut ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Pertanian Sturgeon, restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.

Menurut laporan itu, Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB) membelanjakan RM47.61mil dalam projek ternakan ikan tetapi pulangannya termasuk dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan penggantungan projek tersebut.

FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah Felda.

"Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB," kata Ketua Audit Negara.

Global Settlers Sdn Bhd (GSSB) pula membelanjakan RM8.4 juta untuk membuka lima restoran Savaro tetapi kesemuanya ditutup selepas dua atau tiga tahun beroperasi.

Sementara itu, bagi Projek Pastri Schneeballen, GSSB membuat bayaran berjumlah RM2.29 juta kepada sebuah syarikat yang tidak berkaitan.

"Bayaran itu juga dibuat tanpa dokumen sokongan yang mencukupi dan penglibatan syarikat tidak berkaitan ini tidak dinyatakan dalam kontrak," katanya.

Laporan itu turut mendedahkan Projek Pastri Schneeballen ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan RM6.39 juta dibayar untuk kontrak dan mesin pastri.



Sumber: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/11/21/felda-rugi-rm45-juta/

Wednesday, 24 August 2016

MATC PAYA BESAR - USUL GESA KEADILAN PUSAT SERAH MANDAT KEPADA AKAR UMBI BUAT PILIHAN TENTANG HUBUNGAN KEADILAN DAN PAS

Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) Paya Besar, Kuantan telah pun selesai diadakan pada Ahad (14/8/16) jam 3.00 petang baru-baru ini bertempat di Pejabat Ranting Taman Tas yang mana telah diresmikan oleh Wakil dari Adun Semambu, YB Lee Chean Chung iaitu Ketua AMK Pahang, Sdr Wong Chun Yuan.

Tiada pemilihan jawatan pada MATC kali ini, ianya hanya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Parti.  Di dalam ucapan perasmian wakil Adun Semambu tersebut, beliau menyentuh beberapa isu di antaranya berkaitan perjuangan reformasi yang diasaskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim serta usaha yang harus dilakukan di dalam meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap parti KEADILAN khususnya bagi Paya Besar.  Di samping itu, beliau turut menggesa agar kempen mendaftarkan pengundi-pengundi baru terutamanya pengundi-pengundi muda mesti digerakkan mulai sekarang memandangkan tarikh PRU semakin hampir.

Di antara usul yang menarik perhatian adalah usul kepada Pusat iaitu menggesa agar Pusat memutuskan samada hubungan di antara KEADILAN dengan Pas perlu diteruskan atau sebaliknya mestilah melalui Kongres Nasional di mana akar umbi berhak membuat keputusan bukan hanya diputuskan oleh beberapa pimpinan di MPP atau Biro Politik semata-mata.  Ini adalah kerana di peringkat akar umbi terdapat berbagai pendapat yang seharusnya didengari oleh pimpinan Pusat.  

Usul ini diterima sebulat suara.

Friday, 12 August 2016

MESYUARAT AGONG TAHUNAN CABANG PAYA BESAR PADA 14 OGOS 2016

KEADILAN Cabang Paya Besar akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) 2016 pada hari Ahad (14 Ogos 2016) jam 03.30 petang bertempat di Pejabat Ranting KEADILAN Taman Tas, iaitu di tempat yang sama diadakan pada tahun lepas.

Notis MATC telah pun dikeluarkan pada 29 Julai 2016 yang lalu untuk menjemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir mesyuarat pada tarikh yang dinyatakan.  MATC kali ini akan diresmikan oleh Adun Semambu, YB Lee Chean Chung.

Sehubungan itu, sekali lagi dijemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir di dalam mesyuarat kali ini. 

Sunday, 3 July 2016

EDAR KUEH RAYA DAN UCAPAN SELAMAT HARI RAYA DARI KEADILAN PAYA BESAR








KEADILAN Cabang Paya Besar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam, maaf zahir batin.  Sepanjang Ramadhan, KEADILAN Paya Besar telah mengadakan beberapa program ziarah dan juga edaran kurma dan kueh raya di beberapa lokasi orang ramai seperti di Pasar Malam atau Bazar Ramadhan.

 

Sunday, 12 June 2016

AMANAH MAMPU BUAT KEJUTAN DI SG BESAR DAN K.KANGSAR

KEADILAN Cabang Paya Besar optimis bahawa Parti Amanah akan berjaya membawa misi Pakatan Harapan untuk memenangi dua PRK di Sg Besar dan K.Kangsar.  Walaupun menyedari bahawa ini bukan satu tugas mudah kerana kedua-dua Kerusi tersebut sebelum ini adalah milik Bn, ditambah pula dengan pertandingan 3 penjuru di Sg Besar dan 4 penjuru di K.Kangsar, namun melihat kepada perkembangan semasa kami yakin Pakatan Harapan akan memenangi kedua-dua PRK tersebut, InsyaAllah.


Rakyat di dua kawasan tersebut tiada pilihan.  Mereka harus melihat dua pihak sahaja iaitu Kerajaan Bn yang sedang memerintah atau Pembangkang.  Pembangkang di negara ini tiada lain selain dari Pakatan Harapan kerana ia membawa suara dari Parti KEADILAN, Dap dan Amanah, tiga parti politik yang bergabung dan mempunyai satu tujuan iaitu ingin melawan kerakusan Umno/Bn.  Ini berbeza dari satu lagi iaitu Pas yang dilihat hanya memasuki Pilihanraya untuk menasihati Umno/Bn.  Itu jelas.


Kita mahu Wakil Rakyat yang berada di Parlimen membawa suararakyat dengan jelas dan lantang serta tegas, bukan hanya menjadi 'pasu bunga' sahaja.  Kekerapan media kawalan Umno/Bn seperti RTM dan TV3 memberikan ruang yang luas kepada pimpinan Pas untuk muncul mengecam Dap dan Amanah terutamanya sudah cukup untuk kita memikirkan apakah tujuan Umno/Bn sebenarnya?  Apakah hubungan Umno/Bn dengan Pas di dalam PRK ini?  Mengapa tiada ruang buat pimpinan Pakatan Harapan untuk muncul seperti mereka?  


Kami yakin para pengundi bijak di dalam membuat pilihan.  Apakah mereka masih ingin menyokong parti yang diterajui oleh Najib atau memilih parti yang direstui juga oleh Najib, atau memilih parti yang amat dibenci dan ditakuti oleh Najib iaitu Pakatan Harapan yang diwakili oleh Amanah.

Friday, 13 May 2016

MAJLIS MAKAN TENGAHARI BERSAMA NURUL PADA 14 MEI INI DIBATALKAN

Mengikut perancangan, Cabang KEADILAN Paya Besar berhajat untuk mengadakan Majlis Jamuan Makan Tengahari bersama YB Nurul Izzah pada 14 Mei 2016 ini bertempat di Perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Paya Besar, Kg Batu Sawar, Jln Sg Lembing, Kuantan.

Memandangkan pada tarikh tersebut terlalu banyak program penting melibatkan YB Nurul Izzah dan juga Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, maka program tersebut terpaksa dibatalkan.  Walau bagaimanapun, KEADILAN Cabang Paya Besar bercadang akan mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya selepas Aidil Fitri nanti.

Sebarang program melibatkan Cabang Paya Besar akan kami maklumkan dari semasa ke semasa.