NOTIS

RADIO KOBAT FM

Wednesday, 13 May 2015

KEADILAN PAHANG TIDAK "MELEPASKAN BATUK DITANGGA" SEWAKTU PRK ROMPIN

Benarkah kata-kata orang bahawa hubungan KEADILAN dan PAS tidak semesra dahulu?  Sukar mahu menjawab persoalan ini kerana bagi kami di Pahang kami tidak merasakan demikian.  Mungkin ada seorang dua pimpinan di sini yang kadangkala memberikan kenyataan atau komen yang memperlihatkan hubungan kami dengan PAS tidak mesra.

Hakikatnya, di PRK Rompin baru-baru ini saya selaku SU KEADILAN Pahang telah diberi amanah untuk mengetuai jentera KEADILAN Pahang di dalam kempen membantu calon PAS.  Arahan dari pucuk pimpinan negeri amat jelas menunjukkan KEADILAN Pahang serius dan amat berharap satu kejutan bakal berlaku di Rompin.  Justeru itu, kami dengan jentera KEADILAN tempatan di Rompin serta dibantu juga dari Pekan dan Paya Besar menumpukan kempen di Rompin terutamanya di kawasan bandar utama di Rompin dan Muadzam Shah, di samping berkempen di kawasan perkampungan Orang Asal.

Semua tahu, dalam waktu yang sama kempen di Permatang Pauh juga sedang berjalan dan kami sedar betapa pentingnya Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi oleh Presiden kami, Kak Wan perlu dipertahankan.  Permatang Pauh adalah maruah KEADILAN, tetapi samasekali kami tidak sanggup melihat PAS bersendirian berdepan dengan Umno/Bn di Rompin.  Oleh sebab itulah, KEADILAN Pahang membahagikan tugas akan kedua-dua kawasan ini mesti dibantu.

Alhamdulillah, kerjasama KEADILAN dan PAS di Rompin amat baik.  Mungkin ramai yang tidak sedar keberadaan kami di Rompin kerana betapa luasnya bumi Rompin ini dan kami mempunyai tenaga kerja yang terhad akibat pembahagian tugas bersama Permatang Pauh.  Namun, kami sedaya upaya memenuhi setiap undangan di dalam program-program yang diatur termasuk turut serta di dalam kempen dan membekalkan penceramah samada dari negeri mahupun didatangkan dari Pusat.  Bahkan, di dalam kesibukan Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman di Permatang Pauh, beliau sempat hadir ke Rompin untuk berceramah bersama Tuan Guru Presiden PAS dan hadir di dalam ceramah yang lain, dan sempat juga bertemu pengundi-pengundi kaum Cina di Bandar Rompin.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang, Sdr Ahmad Nizam, Ahli MPP KEADILAN Pusat, Sdr Zakaria Abdul Hamid, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron dan ramai lagi pimpinan berkesempatan untuk berkempen di Rompin.  Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Sdr Wan Fauzuldin juga diarahkan terus berkempen sepenuh masa di Rompin.  Ini menunjukkan kami amat serius untuk membantu PAS di Rompin sebagaimana juga PAS begitu komited membantu KEADILAN di Permatang Pauh.

Akhirnya, PAS berjaya mencuri ribuan pengundi-pengundi Umno/Bn di Rompin.  Meskipun PAS tewas tetapi PAS berjaya mengurangkan majoriti Umno/Bn di Rompin.  Kesimpulannya, di Pahang kami dari KEADILAN dan PAS menyedari bahawa formula untuk menentang Umno/Bn hanya ada satu formula sahaja iaitu kerjasama di dalam PR.  Dakwaan yang menyebut KEADILAN hadir di Rompin hanya sekadar melepas batuk ditangga adalah satu dakwaan jahat yang ingin memecahbelahkan perpaduan yang terjalin selama ini.

No comments:

Post a Comment