Friday, 5 May 2017
EDAR AKHBAR SELANGORKINI DAN SUARA KEADILAN DI PASAR MALAM GAMBANG
Petang semalam, Khamis (04/5/17) jam 05.00 petang, KEADILAN Cabang Paya Besar telah mengadakan program mengedar akhbar SelangorKini dan Suara Keadilan di Pasar Malam, Jln Gambang - Muadzam.
Ketua Cabang bersama beberapa AJK Cabang telah turun menjayakan program ini. Alhamdulillah, sebanyak 200 keping akhbar SelangorKini dan Suara Keadilan telah berjaya diedarkan kepada pengunjung-pengunjung pasar tersebut.
Tujuan program ini, di samping untuk mendekati rakyat di akar umbi, Keadilan ingin menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang apa yang berlaku di Selangor dalam aspek pentadbiran berbanding dengan negeri-negeri di bawah Kerajaan Umno/Bn. Rakyat juga akan mendapat maklumat isu-isu semasa negara melalui Suara Keadilan.
Terima kasih kepada petugas-petugas yang membantu program ini.
Saturday, 1 April 2017
PAYA BESAR - DUA DUN SASARAN KEADILAN
Kerjasama di antara Keadilan Cabang Paya Besar dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan, Amanah serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus dipertingkatkan. Meskipun di Paya Besar tiada cawangan Dap, namun wakil dari Dap juga sering dilibatkan di dalam beberapa program di Paya Besar khususnya di kawasan-kawasan pekan kecil.
Di dalam PRU14 akan datang, Keadilan mensasarkan sekurang-kurangnya dua Dun untuk ditandingi, manakala rakan-rakan dari Amanah serta PPBM juga turut berminat untuk bertanding di Parlimen serta Dun. Setakat ini, Alhamdulillah, Pakatan Harapan Paya Besar telah berjaya berunding serta membincangkan tentang peruntukan Kerusi bagi parti masing-masing.
Apa yang menjadi fokus kami di Paya Besar adalah merancakkan lagi aktiviti serta program-program di akar umbi terutamanya di kawasan-kawasan felda yang 90% adalah kawasan di Parlimen Paya Besar. Beberapa program sebelum ini seperti ceramah, pendaftaran serta penyemakan alamat mengundi, edaran risalah dan akhbar SelangorKini akan diteruskan dan dipergiatkan. Kami sedar, tidak mudah untuk mendekati dan memujuk warga felda agar melakukan perubahan, namun semuanya kami anggap sebagai ujian yang wajib kami tempuhi.
Parlimen Paya Besar sememangnya kubu kuat Umno, namun rekod menunjukkan Keadilan tidak pernah hilang deposit apabila bertanding di kawasan kubu mereka. Ini menunjukkan Keadilan serta Pakatan Harapan mempunyai masa depan yang cerah di kawasan ini apatah lagi dengan beberapa isu besar yang melanda negara termasuk isu-isu yang melibatkan kepentingan warga felda sendiri. Apa yang perlu kami lakukan adalah terus menyampaikan maklumat-maklumat ini melalui apa jua cara.
Kerjasama dari semua AJK Cabang Paya Besar serta rakan-rakan dari Pakatan Harapan harus dipertingkatkan lagi bagi merealisasikan hasrat untuk melakukan perubahan di Paya Besar.
Tuesday, 24 January 2017
KEADILAN PAYA BESAR DAN ADUN SEMAMBU SAMPAIKAN BUAH LIMAU DI TAMAN TAS SEMPENA TAHUN BARU CINA
Hari ini, Ketua Cabang Paya Besar, Sdr Kamarzaman bersama Adun Semambu, YB Lee Chean Chung bersama beberapa AJK Cabang Keadilan Paya Besar telah menyantuni masyarakat kaum Cina di sekitar Taman Tas, Kuantan di samping mengagihkan buah limau kepada mereka.
Keadilan Cabang Paya Besar mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina yang menyambut perayaan tersebut dengan harapan agar tahun baru ini akan membuka lembaran baru buat negara kita ke arah yang lebih baik.
Thursday, 1 December 2016
FELDA RUGI ?
Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2) mendedahkan Felda mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.
Laporan tersebut turut berkata Felda mengalami kerugian sebanyak RM28 juta membabitkan empat anak syarikat dan syarikat dibawah kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Syarikat tersebut ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Pertanian Sturgeon, restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.
Menurut laporan itu, Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB) membelanjakan RM47.61mil dalam projek ternakan ikan tetapi pulangannya termasuk dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan penggantungan projek tersebut.
FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah Felda.
"Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB," kata Ketua Audit Negara.
Global Settlers Sdn Bhd (GSSB) pula membelanjakan RM8.4 juta untuk membuka lima restoran Savaro tetapi kesemuanya ditutup selepas dua atau tiga tahun beroperasi.
Sementara itu, bagi Projek Pastri Schneeballen, GSSB membuat bayaran berjumlah RM2.29 juta kepada sebuah syarikat yang tidak berkaitan.
"Bayaran itu juga dibuat tanpa dokumen sokongan yang mencukupi dan penglibatan syarikat tidak berkaitan ini tidak dinyatakan dalam kontrak," katanya.
Laporan itu turut mendedahkan Projek Pastri Schneeballen ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan RM6.39 juta dibayar untuk kontrak dan mesin pastri.
Sumber: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/11/21/felda-rugi-rm45-juta/
Wednesday, 24 August 2016
MATC PAYA BESAR - USUL GESA KEADILAN PUSAT SERAH MANDAT KEPADA AKAR UMBI BUAT PILIHAN TENTANG HUBUNGAN KEADILAN DAN PAS
Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) Paya Besar, Kuantan telah pun selesai diadakan pada Ahad (14/8/16) jam 3.00 petang baru-baru ini bertempat di Pejabat Ranting Taman Tas yang mana telah diresmikan oleh Wakil dari Adun Semambu, YB Lee Chean Chung iaitu Ketua AMK Pahang, Sdr Wong Chun Yuan.
Tiada pemilihan jawatan pada MATC kali ini, ianya hanya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Parti. Di dalam ucapan perasmian wakil Adun Semambu tersebut, beliau menyentuh beberapa isu di antaranya berkaitan perjuangan reformasi yang diasaskan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim serta usaha yang harus dilakukan di dalam meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap parti KEADILAN khususnya bagi Paya Besar. Di samping itu, beliau turut menggesa agar kempen mendaftarkan pengundi-pengundi baru terutamanya pengundi-pengundi muda mesti digerakkan mulai sekarang memandangkan tarikh PRU semakin hampir.
Di antara usul yang menarik perhatian adalah usul kepada Pusat iaitu menggesa agar Pusat memutuskan samada hubungan di antara KEADILAN dengan Pas perlu diteruskan atau sebaliknya mestilah melalui Kongres Nasional di mana akar umbi berhak membuat keputusan bukan hanya diputuskan oleh beberapa pimpinan di MPP atau Biro Politik semata-mata. Ini adalah kerana di peringkat akar umbi terdapat berbagai pendapat yang seharusnya didengari oleh pimpinan Pusat.
Usul ini diterima sebulat suara.
Friday, 12 August 2016
MESYUARAT AGONG TAHUNAN CABANG PAYA BESAR PADA 14 OGOS 2016
KEADILAN Cabang Paya Besar akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) 2016 pada hari Ahad (14 Ogos 2016) jam 03.30 petang bertempat di Pejabat Ranting KEADILAN Taman Tas, iaitu di tempat yang sama diadakan pada tahun lepas.
Notis MATC telah pun dikeluarkan pada 29 Julai 2016 yang lalu untuk menjemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir mesyuarat pada tarikh yang dinyatakan. MATC kali ini akan diresmikan oleh Adun Semambu, YB Lee Chean Chung.
Sehubungan itu, sekali lagi dijemput semua ahli KEADILAN Cabang Paya Besar untuk hadir di dalam mesyuarat kali ini.
Sunday, 3 July 2016
EDAR KUEH RAYA DAN UCAPAN SELAMAT HARI RAYA DARI KEADILAN PAYA BESAR
KEADILAN Cabang Paya Besar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam, maaf zahir batin. Sepanjang Ramadhan, KEADILAN Paya Besar telah mengadakan beberapa program ziarah dan juga edaran kurma dan kueh raya di beberapa lokasi orang ramai seperti di Pasar Malam atau Bazar Ramadhan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
















