NOTIS

RADIO KOBAT FM

Friday, 4 September 2015

PROGRAM PEMERKASAAN ORGANISASI PARTI (POP) NEGERI PAHANG PADA 05 SEP 2015

Bagi memperkasakan organisasi setiap Cabang KEADILAN seluruh negeri Pahang, satu program berbentuk latihan iaitu Program Pemerkasaan Organisasi Parti (POP) akan diadakan di Indera Sempurna Resort, Jalan Kuantan-Pekan, Pahang pada 05 September 2015 (Sabtu) bermula jam 0830 pagi sehingga jam 06.00 petang.

Setiap Cabang akan menghantar sekurang-kurangnya 14 orang yang terdiri daripada Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang, Naib-Naib Ketua Cabang, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Komunikasi, Pengarah Pilihanraya, Setiausaha Pengelola, Ketua Wanita, Ketua AMK dan Pengarah Strategi.

Program ini akan dikendalikan oleh Pejabat Setiausaha Agong KEADILAN Pusat di bawah YB Rafizi Ramli serta akan dibantu oleh Pengarah Pilihanraya Pusat, Sdr Saifuddin Nasution.  Objektif utama program ini secara umumnya adalah untuk melatih setiap pimpinan Cabang serta organisasinya bagaimana untuk mentadbir dan mengurus Cabang masing-masing di dalam berbagai aspek bagi memantapkan gerak kerja Cabang.

Mereka yang terlibat di dalam program ini dikehendaki melapor diri di sekretariat pendaftaran mulai jam 08.30 pagi sehingga jam 09.00 pagi dengan berpakaian korporat parti, T-Shirt parti atau berbaju kemeja yang kemas.  Setiap peserta dikehendaki membawa alat tulis masing-masing serta buku catatan.

Tiada sesiapa di antara pemegang jawatan di atas dikecualikan tanpa alasan yang munasabah.  Kerjasama dari semua Ketua Cabang amat diperlukan bagi menjayakan program ini.  Sebarang pertanyaan sila berhubung dengan Setiausaha Pengelola Negeri, Sdr Arman di No Tel: 016-6892813.

Friday, 28 August 2015

RAKYAT PAHANG BERI KEMENANGAN KEPADA PR, BUKANNYA SEMATA-MATA KEADILAN, PAS MAHUPUN DAP

KEADILAN Pahang sentiasa berfikiran positif dengan apa jua yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat sekarang ini.  Kami masih yakin masih ada jalan untuk pimpinan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya jika ada yang melibatkan hubungan KEADILAN dan Pas mahupun Dap.  

Bagi kami di Pahang, kami sentiasa ingin memulakan sesuatu yang baik bagi menunjukkan keikhlasan kami untuk cuba memperbaiki keadaan.  Sebab itu, setiap program negeri yang diatur, kami tidak pernah abaikan rakan-rakan dari Pas dan Dap.  Kami sedar, adanya provokasi di media-media sosial yang mempersendakan keikhlasan kami kononnya kami terhegeh-hegeh memohon kerjasama Pas atau Dap.  Hakikatnya, kerjasama seperti ini sudah lama wujud sebelum krisis bermula.

Bagi KEADILAN Pahang kami hanya cuba dan usaha untuk memperbaiki keadaan ini.  Sekiranya kami menjemput rakan-rakan kami di dalam satu-satu program, kami tidak mampu untuk menentukan kehadiran mereka.  Begitu juga, arahan dari pimpinan KEADILAN negeri iaitu tiada larangan dari mana-mana pimpinan dari negeri ini untuk bekerjasama atau terlibat dengan program-program dari Pas mahupun Dap atau pihak-pihak lain yang mempunyai hasrat yang sama untuk memperjuangkan keadilan dan melawan kezaliman Umno/Bn.

Sehubungan itu, kami menyeru agar jangan ada mana-mana pihak ingin memprovokasi bagi membantutkan usaha pemulihan ini.  Kami sedar, Pakatan Rakyat adalah pilihan rakyat di mana-mana Kerusi yang kita menangi di negeri ini bukannya atas nama parti semata-mata.  Justeru itu, KEADILAN tidak pernah merasa parti ini semata-mata boleh menang tanpa dokongan dari rakyat yang bukan dari ahli parti.  Harapan kami, rakan-rakan kita juga berfikiran sedemikian.

Friday, 14 August 2015

JEMPUTAN RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI KEADILAN PAHANG ESOK (15/8/15) DI BENTONG



ESOK, Sabtu (15/8/15) jam 4.00 Petang sehingga 07.00 petang, KEADILAN Negeri Pahang akan mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri KEADILAN Pahang, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Bandar Bentong.  Kehadiran tetamu undangan adalah Presiden KEADILAN Pahang, YB Datin Seri Wan Azizah serta Timbalan Presiden, YAB Azmin Ali dan pimpinan KEADILAN Pusat serta Negeri.  Kepimpinan Pas dan Dap Pahang juga turut dijemput bersama.

Seluruh rakyat Negeri Pahang khususnya serta NGOs, penyokong-penyokong mana-mana parti politik turut dijemput bagi meraikan Aidil Fitri yang kali ini Bentong dipilih sebagai Tuan Rumah.

Pada majlis tersebut turut akan disajikan dengan Deklamasi Puisi tentang perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di penjara Sg Buluh.  Sebelum itu, satu sesi taklimat tertutup oleh Presiden dan seluruh Ahli MPN KEADILAN Pahang akan diadakan sempena Program Jelajah Presiden. 

Pahang merupakan negeri terakhir di dalam Program Jelajah Presiden ke seluruh negeri bermula awal Julai yang lalu.

Friday, 31 July 2015

JAMUAN HARI RAYA AIDIL FITRI KEADILAN PAHANG DI BENTONG- 15 OGOS

Program terdekat KEADILAN Pahang adalah jamuan Hari Raya Aidil Fitri yang akan diadakan di Bentong pada 15 Ogos ini (lokasi dan waktu akan dimuktamadkan).  Pada tarikh yang sama juga siri Jelajah Presiden KEADILAN akan tiba di Pahang di mana Presiden akan memberikan amanatnya bertempat di Bentong juga pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun, KEADILAN Pahang akan menghebahkan program terperinci Jamuan Hari Raya tersebut setelah dimuktamadkan di dalam masa yang terdekat.

Friday, 10 July 2015

KEADILAN PAHANG TERUSKAN KERJASAMA DENGAN PAS DAN DAP

Ramai yang bertanya tentang apa status PR khususnya di Pahang?  Khabarnya Dap Pahang telah pun memutuskan hubungan dengan Pas lantaran Pas terlebih dahulu membawa usul untuk putuskan hubungan dengan Dap di dalam muktamarnya baru-baru ini.  KEADILAN pula bagaimana?

Seperti biasa, KEADILAN Pahang tidak mudah melatah dan terjebak dengan apa yang berlaku.  KEADILAN Pahang sejak awal krisis ini lagi telahpun menyatakan pendirian kami bahawa KEADILAN Pahang sentiasa akur dengan keputusan dari Pusat.  Kami percaya, Pusat pastinya telah menimbang secara adil dan bijaksana bagi menangani isu ini.

Sehubungan itu, kerjasama KEADILAN Pahang dengan Pas Pahang khususnya berjalan seperti biasa begitu juga dengan Dap Pahang.  Kami tidak berminat untuk mencipta keputusan sendiri dengan membelakangkan keputusan parti.  Kami yakin, Pas Pahang yang kini diterajui oleh YB Ustaz Rosli Abdul Jabar, Adun Tg Lumpur, Kuantan juga bersikap sedemikian. 

Bersamalah kita mendoakan kerjasama erat selama ini di antara KEADILAN, Pas dan Dap di Pahang ini dapat diteruskan sehingga PRU 14 akan datang.  Rakyat terlalu mengharapkan PR terus menjadi pembela mereka.  Apakah pimpinan kita tidak sedikitpun mahu bertolak ansur?

Saturday, 20 June 2015

KEADILAN TERPAKSA AMBIL MASA KERANA MASIH SAYANGKAN DAP DAN PAS

Ada dakwaan yang menyatakan bahawa KEADILAN terlalu berlembut di dalam menghadapi krisis yang dihadapi oleh rakan-rakan di dalam PR.  Benarkah begitu?  

Isunya, perbalahan yang berada di hadapan kita sekarang adalah di antara Pas dengan Dap.  Dap pernah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas sahaja, bukan parti Pas.  Dap Sarawak, contohnya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas di Sarawak.  Ertinya, Dap masih tidak memutuskan hubungan dengan Pas Pusat.  Walaupun agak ganjil dan sepatutnya tidak terjadi, namun itulah faktanya.

Krisis ini lebih serius apabila Pas sendiri bertindak balas dengan lebih efisyen dan lebih jauh lagi.  Pas lebih berani dari Dap apabila di dalam muktamarnya, usul memutuskan hubungan dengan Dap yang dibawa oleh Dewan Ulamak telah diluluskan tanpa bahas.  Setelah menyedari risiko yang bakal dihadapi hasil dari keputusan ini merugikan Pas, maka berbagai tafsiran terhadap usul ini mula kedengaran.  Pas menyatakan usul yang diluluskan oleh Dewan Ulamak itu belum sah kerana Majlis Syura belum putuskan.  Semua tahu di dalam Dewan Ulamak yang meluluskan usul tersebut adalah majoritinya berada di dalam Majlis Syura.  Secara lojiknya, tidak munasabah Majlis Syura yang majoritinya berada di dalam Dewan Ulamak akan menolak usul yang mereka terima sebulat suara sebelum ini.  Itulah yang menyebabkan Dap anggap bahawa memang Pas serius untuk memutuskan hubungan dengan Dap.

Pas pula tetap dengan pendiriannya untuk terus bersama PR, dan KEADILAN masih ada untuk dijadikan kawan oleh Pas, katanya.  Begitu juga Dap, yang masih ingin bersama PR kerana KEADILAN masih ada untuk dijadikan rakan bersama.  Ertikata lain, KEADILAN kini betul-betul berada di tengah-tengah.

Mana satu pilihan KEADILAN?  Pas atau Dap?  Sebelum memutuskan mana satu yang perlu dipilih oleh KEADILAN, tentunya perlu melihat siapa yang setia bersama selama ini.  Namun, kita jangan lupa bahawa tidak majoriti sebenarnya di dalam Pas yang ingin memutuskan hubungan dengan Dap.  Masih ramai pimpinan atau tokoh-tokoh berpengaruh di dalam Pas yang masih sayang kepada PR.  Oleh kerana itulah, KEADILAN terpaksa memikirkan kembali samada adilkah untuk kita putuskan hubungan dengan Pas yang kita ketahui di dalam Pas itu masih ramai yang mahu bekerjasama dengan kita dan PR.  

Sehubungan itu, KEADILAN terpaksa mengambil masa sedikit agar permasalahan ini boleh diselesaikan.  Berat untuk berpisah sebenarnya kerana bukan sedikit masa yang kita habiskan untuk membina penyatuan di dalam PR.  Amat malang sekali kerana pulut, santan binasa.  Kini, KEADILAN mungkin sedang menunggu sejauh mana mereka serius untuk berpisah atau untuk teruskan kerjasama seperti dulu.


Wednesday, 13 May 2015

KEADILAN PAHANG TIDAK "MELEPASKAN BATUK DITANGGA" SEWAKTU PRK ROMPIN

Benarkah kata-kata orang bahawa hubungan KEADILAN dan PAS tidak semesra dahulu?  Sukar mahu menjawab persoalan ini kerana bagi kami di Pahang kami tidak merasakan demikian.  Mungkin ada seorang dua pimpinan di sini yang kadangkala memberikan kenyataan atau komen yang memperlihatkan hubungan kami dengan PAS tidak mesra.

Hakikatnya, di PRK Rompin baru-baru ini saya selaku SU KEADILAN Pahang telah diberi amanah untuk mengetuai jentera KEADILAN Pahang di dalam kempen membantu calon PAS.  Arahan dari pucuk pimpinan negeri amat jelas menunjukkan KEADILAN Pahang serius dan amat berharap satu kejutan bakal berlaku di Rompin.  Justeru itu, kami dengan jentera KEADILAN tempatan di Rompin serta dibantu juga dari Pekan dan Paya Besar menumpukan kempen di Rompin terutamanya di kawasan bandar utama di Rompin dan Muadzam Shah, di samping berkempen di kawasan perkampungan Orang Asal.

Semua tahu, dalam waktu yang sama kempen di Permatang Pauh juga sedang berjalan dan kami sedar betapa pentingnya Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang ditandingi oleh Presiden kami, Kak Wan perlu dipertahankan.  Permatang Pauh adalah maruah KEADILAN, tetapi samasekali kami tidak sanggup melihat PAS bersendirian berdepan dengan Umno/Bn di Rompin.  Oleh sebab itulah, KEADILAN Pahang membahagikan tugas akan kedua-dua kawasan ini mesti dibantu.

Alhamdulillah, kerjasama KEADILAN dan PAS di Rompin amat baik.  Mungkin ramai yang tidak sedar keberadaan kami di Rompin kerana betapa luasnya bumi Rompin ini dan kami mempunyai tenaga kerja yang terhad akibat pembahagian tugas bersama Permatang Pauh.  Namun, kami sedaya upaya memenuhi setiap undangan di dalam program-program yang diatur termasuk turut serta di dalam kempen dan membekalkan penceramah samada dari negeri mahupun didatangkan dari Pusat.  Bahkan, di dalam kesibukan Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman di Permatang Pauh, beliau sempat hadir ke Rompin untuk berceramah bersama Tuan Guru Presiden PAS dan hadir di dalam ceramah yang lain, dan sempat juga bertemu pengundi-pengundi kaum Cina di Bandar Rompin.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang, Sdr Ahmad Nizam, Ahli MPP KEADILAN Pusat, Sdr Zakaria Abdul Hamid, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron dan ramai lagi pimpinan berkesempatan untuk berkempen di Rompin.  Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Sdr Wan Fauzuldin juga diarahkan terus berkempen sepenuh masa di Rompin.  Ini menunjukkan kami amat serius untuk membantu PAS di Rompin sebagaimana juga PAS begitu komited membantu KEADILAN di Permatang Pauh.

Akhirnya, PAS berjaya mencuri ribuan pengundi-pengundi Umno/Bn di Rompin.  Meskipun PAS tewas tetapi PAS berjaya mengurangkan majoriti Umno/Bn di Rompin.  Kesimpulannya, di Pahang kami dari KEADILAN dan PAS menyedari bahawa formula untuk menentang Umno/Bn hanya ada satu formula sahaja iaitu kerjasama di dalam PR.  Dakwaan yang menyebut KEADILAN hadir di Rompin hanya sekadar melepas batuk ditangga adalah satu dakwaan jahat yang ingin memecahbelahkan perpaduan yang terjalin selama ini.