NOTIS

RADIO KOBAT FM

Monday, 14 July 2014

KEMELUT MB SELANGOR - MAJLIS PRESIDEN PR AKAN TENTUKAN

SHAH ALAM – Kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menerima asakan pengunduran bertubi-tubi daripada sekutunya yang secara terang-terangan tidak berpuas hati dengan cara pemerintahan beliau.

Senario PR ketika ini ialah sedang mengumpul suara dari akar umbi setiap cabang parti termasuk Adun dan Ahli Parlimen untuk dibawa ke peringkat pimpinan pusat seterusnya memuktamadkan status menteri besar itu.

Adun Batu Caves (PKR), Amirudin Shari berkata, penilaian corak pemerintahan Abdul Khalid sedang ditimbang tara berdasarkan beberapa kepincangan dan kelemahan yang dihadapi kerajaan negeri dalam tempoh mutakhir ini.

“Buat masa ini komponen PR sedang berbincang keperluan pengunduran Abdul Khalid bermula dari akar umbi sebelum koleksi pandangan berkenaan dibawa ke peringkat tertinggi untuk diputuskan sama ada kekal atau diturunkan.

“Isu pertukaran ini perlu dibuat berhati-hati kerana ia melibatkan banyak perkara membabitkan hal pembangunan, urusan pentadbiran negeri termasuk strategi berkesan berdepan PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Amirudin memberi bayangan seolah-olah pengunduran Abdul Khalid itu perlu dilakukan tetapi keputusan besar itu wajar ditimbang tara secara teliti kerana setiap perubahan drastik memerlukan penyesuaian terbaik.

Katanya, pertukaran itu perlu tapi banyak penyesuaian baharu harus difikirkan.

"Kita takut salah pandang jika tergesa-gesa dan ia mendatangkan risiko PR pada Pilihan raya Umum ke -14 akan datang.
“Adun dan ahli parlimen sedang bincang termasuk juga akar umbi sama ada penentuan kekal atau tidak. Ia dalam proses dan tak perlu tergesa-gesa kerana banyak perkara wajar dipertimbangkan masak-masak, gesaan saya cuma keputusan ini perlu dibuat,” katanya.

Kelmarin, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbincangan tertutup berhubung kedudukan menteri besar itu dibuat secara tertutup dan persefahaman telah dicapai bagaimanapun langkah itu tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

Ditanya mengenai calon gantian yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor sekiranya pengunduran ini terlaksana, beliau hanya memaklumkan antara nama yang dicanang ialah Mohamed Azmin Ali dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail manakala Pas juga ada calon mereka.

Sementara itu, Adun Hulu Klang (Pas), Saari Sungib turut memberi respons sama malah beliau menegaskan kemelut pertukaran menteri besar ini bukan perkara baharu malah ia dicetuskan sejak pengenalan Langkah Kajang.

“Pelbagai pandangan telah didengar, oleh itu tunggu saja keputusan daripada pusat untuk muktamadkan pertukaran kerusi menteri besar ini.

“Lagipun benda itu dah jadi isu sejak Langkah Kajang tetapi tiada keputusan muktamad. Sekarang bincang peringkat akar umbi dan akan dibawa ke peringkat pusat untuk diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Sekinchan (DAP), Ng Suee Lim berkata, sebagai Adun terpaksa akur dengan keputusan kepimpinan parti yang dibincangkan bersama Majlis Pimpinan PR.

Saturday, 12 July 2014

MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN KEADILAN CABANG PAYA BESAR HARI INI

Hari ini (Sabtu - 12/7/2014), KEADILAN Cabang Paya Besar akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa bertempat di Pejabat Cabang Paya Besar/Ranting KEADILAN Taman Tas.  

Sehubungan itu, KEADILAN Paya Besar sukacitanya menjemput semua AJK/Ahli Cabang Paya Besar untuk bersama-sama merapatkan silaturrahim di kalangan ahli di Paya Besar.  Majlis berbuka puasa lebih kurang jam 07.23 petang. 

Friday, 11 July 2014

13 Mei: Muhyiddin Bagai Melaga-Laga Kaum- Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tan Sri Muhyidin Yassin sepatutnya memupuk kerjasama dan persefahaman antara kaum dan bukan menimbulkan ketakutan kepada rakyat dengan sentimen perkauman.

Menurutnya, timbalan perdana menteri itu perlu memberi contoh yang baik dan teladan kepada rakyat, dan sebagai pemimpin harus menanamkan semangat persefahaman di kalangan mereka.

“Bulan Ramadan ini, beliau harus tanamkan tradisi persefahaman, bukan takut-takutkan rakyat.

“Apa-apa pun kita harus berpandukan Al Quran, itu asas dalam kehidupan kita,” katanya selepas solat tarawikh dan tazkirah di Surau Saujana Impian dekat sini.

Muhyidin baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila memberi amaran mengenai peristiwa hitam 13 Mei akan berulang semula sekiranya perlembagaan negara dipersoal.

Tindakan itu menerima kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai bahaya kepada hubungan kaum.

Tambah Anwar, sentimen perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh membuat salah faham antara kaum- kaum yang ada di negara ini.

“Ini boleh menyebabkan salah faham, dan ia bagaikan melaga-lagakan lagi sentimen perkauman,” jelasnya./KD

Wednesday, 9 July 2014

HIMPUNAN ANTI LYNAS - TERTUDUH TIDAK MENGAKU SALAH

Sebelas penyokong anti-Lynas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram di premis syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Jun lepas manakala empat lagi didakwa melakukan kekerasan dalam perhimpunan itu.

Sebelas tertuduh itu ialah Wong Tack, 55, Raymond Ang, 45, Hew Keuan Yau, 44, Rapar Ahmad, 44, Tan Wang Sheng, 37, Wong Chee Wai, 35, Zamri Zainal, 26, Lee Hai Ming, 37, Tan Chee Hooi, 38, Thomas Wang, 52, dan Chong Kang Yuen, 64.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Empat lagi tertuduh, Foong Poh Choo, 36, Wong Che Wen, 44, Phua Kia Han, 43, dan Ho Kam Huat, 44, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kekerasan pada perhimpunan tersebut dengan merempuh halangan pihak polis.

Ho juga tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis dengan cara mencakar dan menyepak mangsa hingga menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka melakukan kesalahan itu antara 4 petang dan 5.30 petang di Jalan Bandaran, Gebeng menghala ke Syarikat Lynas di kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini, 22 Jun lepas.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin melepaskan kesemua tertuduh dengan ikat jamin RM2,500 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga mengarahkan kesemua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebelum atau pada 5 hari bulan pada setiap bulan sehingga kes tersebut selesai.

Tertuduh juga diarahkan tidak mengulas atau memberi komen kepada pihak ketiga atau pihak yang tidak berkenaan mengenai kes itu bagi mengelak gangguan perjalanan kes tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khalmizah Salleh manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo, S. Prakash, Mohd Haijan Omar dan Ravin J. Kumar. - Bernama

Thursday, 3 July 2014

PEMILIHAN DI PAHANG BERJALAN LANCAR, APA RAHSIANYA?

Pemilihan pimpinan di Negeri Pahang selesai semuanya.  Alhamdulillah, semua berjalan lancar walaupun ada beberapa Cabang yang agak panas kerana berlaku pertandingan.  

Namun, komitmen dan semangat ahli-ahli PKR di Pahang yang lebih fokus untuk tumbangkan Umno menjadikan mereka begitu berdisiplin sekali di dalam pemilihan yang dijalankan.  Ruang seluas-luasnya telah dibuka kepada semua untuk mendapat keadilan sepanjang pemilihan.

Mengapa di Pahang tidak berlaku kontroversi seperti di beberapa negeri lain?   Tidak lain tidak bukan adalah kerana di Pahang kita mempunyai kepimpinan yang begitu profesional.  Pengerusi MPN sendiri sebelum pemilihan di Pahang sentiasa mengingatkan semua pimpinan Cabang dan ahli-ahli bahawa jangan sesekali membawa nama beliau sebagai bahan kempen kerana beliau tidak akan camportangan sedikit pun tentang pemilihan dan hak Cabang untuk memilih pemimpin samada di peringkat Cabang mahu pun di peringkat Pusat.  Ertikata lain, Pengerusi MPN tidak ada merestui mana-mana calon.  Terserah kepada ahli-ahli sendiri membuat pilihan.

Lantaran tiada tekanan atau pengaruh dari Pengerusi MPN, maka pemilihan berjalan dengan baik sekali.  Ini lah yang sepatutnya ada pada pimpinan negeri yang tidak mengawal kehendak ahli-ahli bawahan untuk mengikut cita rasanya sendiri.

Tahniah kepada semua Cabang di Pahang.  Kita berjaya buktikan bahawa PKR Pahang bersatu untuk tumbangkan rejim Umno/Bn.


Friday, 27 June 2014

TAHNIAH, MATC CABANG PAYA BESAR DAPAT DISEMPURNAKAN DENGAN LANCAR

Pada 22 Jun 2014 (Ahad) baru-baru ini, Cabang Paya Besar telah mengadakan MATC nya bermula jam lebih kurang jam 5.00 petang bertempat di Pejabat Cabang KEADILAN Paya Besar, Taman Tas.

Mengikut jadual asal, MATC akan bermula jam 03.30 petang namun terpaksa ditangguhkan untuk beberapa jam kerana terdapat beberapa ahli Cabang yang terlibat di dalam Himpunan Anti Lynas di Gebeng yang diadakan pada tarikh yang sama.  Alhamdulillah, selepas itu MATC dapat dijalankan dengan memenuhi korum yang diperlukan.

Pada pemilihan di peringkat Cabang sebelum ini, Sdr Kamarzaman Yunus telah dipilih melalui undian bagi menjadi Ketua Cabang Paya Besar yang baru.  Namun, pengistiharan resmi Ketua Cabang akan diumumkan oleh JPP kemudian setelah pemilihan yang telah diadakan itu diperakui oleh JPP.  Sehubungan itu, MATC yang telah diadakan pada hari tersebut dilaksanakan di bawah Pemangku Ketua Cabang, Sdr Arman.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Paya Besar yang telah hadir pemilihan dan MATC baru-baru ini di mana dengan komitmen dan kerjasama semua kedua-duanya telah berjaya dilaksanakan dengan licin dan teratur.  Mudah-mudahan Cabang Paya Besar akan terus menunjukkan prestasi yang lebih baik lagi bagi menghadapi PRU 14 akan datang.


Wednesday, 4 June 2014

TERIMA KASIH HADIR PEMILIHAN PAYA BESAR - KAMARZAMAN (PAK LONG)

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah yang Maha Besar.  Nyawa dan kedudukan di dunia ini hanya pinjaman semata-mata.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli PKR Cabang Paya Besar yang telah meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan demokrasi di dalam pemilihan kepimpinan parti di peringkat Cabang dan Pusat yang telah diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan pada 31 Mei 2014 baru-baru ini.

Namun demikian, saya merasa kecewa dan terkilan kerana tidak dapat menghadirkan diri di dalam pemilihan pada hari tersebut kerana terpaksa menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat di Raub yang amat-amat memerlukan kehadiran keluarga kami.  Walaupun saya di antara dua calon yang bertanding sebagai Ketua Cabang Paya Besar, dan terpaksa menerima risiko kehilangan undi dari keluara kami, namun ianya tidak dapat dielakkan cuma saya sentiasa berdoa agar pemilihan dapat berjalan di dalam suasana penuh disiplin, teratur dan harmoni.

Alhamdulillah, saya telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli untuk memikul amanah mengetuai Cabang Paya Besar untuk penggal dan sesi kali ini.  Jawatan Ketua Cabang dan semua jawatan lain belum dimuktamadkan sehingga JPP membuat pengumuman resmi.  Terima kasih kepada mereka yang telah memilih saya sebagai Ketua Cabang, tahniah juga kepada sahabat saya Sdr Jefri yang turut menawarkan diri untuk memikul amanah ini kerana meraikan demokrasi dan memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan.  Harus diingat, sesiapa pun yang mereka pilih, menang atau tewas, mereka adalah ahli parti dan akan bersama kita semua untuk berdepan dengan musuh utama kita iaitu Umno/Bn.

Saya insaf atas tanggungjawab ini dan berjanji akan bekerja sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi prestasi PKR Paya Besar sebagai persediaan kita menghadapi PRU 14 nanti, InsyaAllah.  Seandainya sepanjang kempen pemilihan berlangsung, sekiranya ada kata-kata atau perbuatan dan salah silap dari saya mahupun dari rakan-rakan, saya menyusun jari mohon kemaafan.  

Marilah kita bersatu di dalam jamaah Cabang ini.  Tegurlah saya sekiranya terkhilaf kerana tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan.  Namun sebagai ahli parti kita harus ada disiplin dan kekuatan diri untuk menegur secara baik tanpa melanggar adab dan etika parti.  Gunakan ruang yang ada di dalam parti untuk menegur dan mengkritik parti mahupun mana-mana pemimpin kerana musuh sentiasa mencari ruang untuk menyerang kita.

Kerjasama semua AJK dan rakan-rakan ahli PKR Cabang Paya Besar amat-amat diperlukan untuk kita sama-sama menaikkan prestasi Cabang kita ini.   

Sekian, terima kasih.

KAMARZAMAN BIN MOHAMAD YUNUS