by
Azlie F. Rahman Ketika artikel ini ditulis, Sultan Selangor telah pun bersetuju dengan perletakkan jawatan TS Khalid. TS Khalid kini bertugas sebagai MB peralihan sementara menunggu perlantikan MB Selangor yang baru.
Semasa TS Khalid bertegas untuk kekal sebagai MB, PKR mengemukakan ‘keraguan munasabah’ terhadap integritinya. Antara ‘keraguan munasabah’ yang dikemukakan adalah mengenai penyelesaian hutang Bank Islam beliau yang berjumlah RM 70 juta di luar mahkamah.
Yang menjadi keraguan PKR adalah – mengapa secara mengejut, Bank Islam memutuskan untuk tidak meneruskan kes tuntutan hutang TS Khalid? Walhal, proses perundangan tersebut sudah berlanjutan beberapa tahun. Bahkan, tiada petunjuk bahawa ia mampu diselesaikan segera.
Timing kepada pelepasan hutang tersebut turut mengundang tanda tanya. Mengapa sesudah TS Khalid diminta berundur dan diberitahu perihal Langkah Kajang, kes hutangnya diselesaikan dengan pantas oleh Bank Islam di luar mahkamah? Bukan itu sahaja, ura-ura penglibatan tokoh korporat bernama TS Rashid Manaf yang dikenalpasti sebagai ‘orang Daim’ dalam penyelesaian kes tersebut, menambah kesangsian. Keraguan PKR memuncak apabila sebulan selepas pelupusan hutang TS Khalid, 300 lebih ekar tanah milik kerajaan Selangor dipindah-milik kepada Ecoworld Berhad yang dikuasai TS Rashid Manaf.
TS Khalid juga berkelakuan janggal selepas penyelesaian hutang Bank Islam-nya. Secara unilateral, yakni tanpa merujuk kepada pimpinan Pakatan Rakyat, beliau menandatangani MOU air bersama kerajaan pusat. Beliau juga secara tiba-tiba menjadi ‘bintang kesayangan’ media pro kerajaan dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah dari pendirian Pakatan Rakyat.
Bukan soal Menteri Besar Selangor
Perlu ditegaskan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk mengeruhkan kemelut MB Selangor. Bagi penulis, kemelut MB Selangor sudah meleret-leret dan merugikan. Ianya mengaburi perhatian umum dari permasalahan sebenar – iaitu, kesempitan rakyat akibat kenaikkan kos sara hidup. Kadar jenayah turut meningkat, ketegangan sosial membarah, dan macam-macam lagi. Rakyat memerlukan Pakatan Rakyat untuk kembali menjuarai permasalahan mereka.
Artikel ini juga bukan mengenai TS Khalid. TS Khalid sudah ‘merdeka’ dari hutang puluhan juta ringgit yang menghantui beliau selama ini. Beliau juga bebas dari tekanan perebutan kerusi MB Selangor. Sesuai dengan statusnya sebagai wakil rakyat bebas, beliau tidak lagi terlibat dengan politik kepartian. Tiada lagi orang yang berbeza pendapat, memberi nasihat atau mengarah beliau. Kini, TS Khalid adalah tuan dirinya sendiri. Kesimpulannya, TS Khalid meraih laba yang besar dari kemelut politik di Selangor.
Sebaliknya, artikel ini adalah mengenai persepsi terhadap integriti sebuah bank yang menggunakan label Islam – Bank Islam. Artikel ini juga merupakan pantulan suara rakyat yang ingin tahu mengapa TS Khalid boleh dilupuskan hutangnya sedangkan sebagai rakyat biasa, keistimewaan tersebut tentunya tidak akan diperolehi mereka.
Integriti, keadilan dan Islam
Apakah itu integriti? Integriti pada sesebuah organisasi boleh ditafsirkan sebagai – perlaksanaan set-set nilai dan etika unggul seperti ketelusan, keadilan, amanah dan kebertanggungjawaban secara konsisten sehingga prinsip-prinsip tersebut menjadi budaya organisasi.
Apabila sesebuah organisasi itu tidak telus atau amanah, organisasi tersebut dikatakan tidak berintegriti. Begitu juga jika perlaksanaan prinsip-prinsipnya tidak konsisten atau double-standard. Contohnya, pada satu masa ia telus, manakala pada masa lain ia berahsia. Ataupun, ia berlaku adil kepada sesetengah individu, tetapi tidak kepada individu yang lain. Ini semua adalah pencemar integriti sesebuah organisasi.
Dalam kes penyelesaian hutang TS Khalid, selagi mana Bank Islam berdiam diri terhadap ‘keraguan munasabah’ yang dikemukakan oleh PKR, selagi itu integriti Bank Islam menjadi persoalan. Bank Islam perlu mempertahan integritinya dengan membuat penjelasan tentang penyelesaian kes hutang TS Khalid. Sikap berdiam hanya akan ‘mengiyakan’ persepsi masyarakat terhadap pertuduhan tersebut.
Soal integriti adalah penting terutamanya kepada institusi kewangan kerana ia (dalam kes ini – Bank Islam) dipertanggungjawabkan menjaga amanah, iaitu wang dan harta – penyimpan, peminjam dan pelabur. Kepercayaan rakyat terhadap sesebuah institusi kewangan dipengaruhi oleh persepsi kebolehan dan integritinya. Tindakan Bank Islam berdiam diri ‘mengkhianati’ kepercayaan tersebut. Lama-kelamaan, rakyat akan sangsi terhadap integriti sistem kewangan negara keseluruhannya.
Rakyat juga tertanya-tanya mengapa TS Khalid mendapat layanan istimewa oleh Bank Islam. Kalaulah kerana TS Khalid seorang MB, maka ianya tidak adil. Ini kerana rakyat terutamanya golongan miskin yang ketika ini bergelut untuk hidup, perlu diberi keutamaan. Bukan itu sahaja, kemurungan ekonomi melihatkan kenaikkan peratusan kes muflis negara. Diberitakan bahawa 60 orang diisytihar muflis setiap hari. Sejak 2007 hingga September 2013, seramai 116,488 orang diisytihar bankrap. Punca utama kepada angka yang menakutkan ini adalah – kegagalan melunaskan pinjaman kenderaan dan perumahan (
baca seterusnya). Mereka ini adalah rakyat biasa. Mungkin jiran, saudara atau kenalan kita. Walaupun tekun bekerja, siang dan malam, perolehan mereka masih tidak cukup untuk melunaskan pinjaman rumah dan kenderaan yang merupakan keperluan asas – bukannya perlaburan saham jutaan ringgit untuk lebihan kekayaan, seperti TS Khalid. Mengapa rakyat biasa dibiarkan susah hingga ada yang muflis, sedangkan TS Khalid diberi perlepasan oleh Bank Islam?
Akhir sekali, Bank Islam perlu telus kerana label Islam pada jenamanya. Ketelusan, amanah, keadilan dan akauntibiliti adalah perkara pokok dalam muamalat, iaitu urusan sesama manusia dalam Islam. Sebagai sebuah institusi yang memperdagangkan jenama Islam, Bank Islam wajib menekankan soal integriti – lebih dari institusi kewangan konvensional. Kegagalannya berbuat demikian akan memburukkan persepsi masyarakat terhadap agama Islam.
Harapan
Seperti rakyat kebanyakkan, penulis bukanlah pakar ekonomi ataupun pakar perundangan untuk membuat spekulasi. Maklumat yang ada juga terhad. Oleh itu, penulis berharap agar Bank Islam dapat tampil menjelaskan keraguan tentang integritinya. Seruan ini berlatar-belakangkan situasi hidup rakyat yang susah akibat kemurungan ekonomi. Dari sudut moral, merekalah yang harus diberi perlepasan, bukannya ahli politik yang juga tokoh korporat seperti TS Khalid.
Secara peribadi, sebagai seorang muslim, penulis kesal dengan sikap membisu Bank Islam yang boleh mencemar nama baik agama Islam.
Wallahu a’lam