NOTIS

RADIO KOBAT FM

Wednesday 6 November 2013

ALMARHUM TUAN HJ SUHAIMI YANG SAYA KENALI

AL FATIHAH.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan Al Fatihah buat Almarhum Tuan Hj Suhaimi Said, Pengerusi Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR yang juga Ketua Cabang PKR K.Krau, bekas calon Dun Jenderak di atas pemergian beliau ke Rahmatullah petang semalam.

Almarhum Tuan Hj Suhaimi seorang pejuang
Tiada kata yang boleh saya lafazkan kecuali perasaan sedih di atas pemergian Almarhum, bukan sahaja kerana beliau adalah salah seorang pimpinan PKR Pahang iaitu Naib Pengerusi, tetapi juga beliau mempunyai sejarah hubungan peribadi yang 'sentimental' dengan saya.  Satu-satunya sifat terpuji yang ada pada Almarhum adalah ketegasan beliau di dalam sesuatu isu atau perkara yang beliau rasa benar walaupun bercanggah pendapat dengan orang lain.  Begitulah hubungan beliau dengan saya sewaktu saya melaksanakan amanah sebagai Setiausaha PKR Pahang.  Itulah juga cara beliau dengan sesiapa pun hatta dengan Pengerusi PKR Pahang sendiri bahkan di peringkat MPP yang mana beliau juga salah seorang Ahli MPP.

Kamarzaman - Rasa sedih kehilangan Almarhum
Satu ketika, hubungan saya dengan dia dilihat ramai rakan seperti musuh ketat yang tidak akan bersatu kembali.  Namun, bagi mereka yang mengenali saya dan Almarhum ianya tidak menjadi sedemikian.  Berselisih pendapat, tegur menegur sesama ahli parti adalah satu sikap yang positif jika dilihat secara positif.  Saat paling tidak dapat saya lupakan, setelah agak lama seperti 'bermasam muka', kami bertemu di Kuantan di dalam satu majlis sebelum PRU 13 yang lalu, saya menghampiri beliau dan berjabat tangan lalu kami berpelukan sambil saya berulangkali memohon maaf kepada beliau sekiranya tindak tanduk saya menyinggung perasaannya.  Alhamdulillah, rupa-rupanya Almarhum bukan seorang pendendam tetapi beliau begitu ikhlas meluahkan pendapatnya.

Selepas itu, hubungan kami amat rapat sehinggalah Almarhum banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya berkaitan urusan parti.  Itulah dia wajah sebenar Almarhum Tuan Hj Suhaimi yang saya kenali.  Tegas, tetapi tidak pendendam dan tidak suka bermusuh dengan sesiapa.

Kehilangan beliau amat saya rasai.  Beliau amat gigih melaksanakan amanah dan tanggungjawab parti.  Sebelum PRU 13, beliau berulangkali merayu kepada Pengerusi PKR Negeri agar tidak dicalonkan namanya sebagai calon di Dun Jenderak, tetapi beliau sanggup bekerja membantu kemenangan calon yang dipilih oleh parti.  Beliau juga berulangkali memohon meletakkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR K.Krau atas alasan masalah kesihatan yang sering mengganggu dan juga ingin menonjolkan muka baru di Jenderak.  Malangnya, permohonan Almarhum ditolak oleh Pengerusi MPN kerana tenaga dan buah fikiran beliau amat diperlukan oleh parti tambahan pula disaat PRU, parti tidak mempunyai banyak masa untuk melatih tokoh baru bagi menggantikan beliau.

Itulah Almarhum Tuan Hj Suhaimi Said.  Beliau bukan insan yang mengejar jawatan dan kedudukan.  Beliau berjuang di dalam parti adalah untuk melaksanakan agenda parti bagi melakukan perubahan atau 'reform'.  Meskipun terdapat pimpinan dan ahli parti yang kecewa dengan keputusan parti lantas meninggalkan parti, ini tidak berlaku kepada Almarhum.  Tidak semua keputusan parti samada di peringkat Negeri mahupun Pusat dipersetujuinya, namun Almarhum tidak sanggup untuk meninggalkan parti yang dicintainya.  PKR adalah parti yang didokong oleh beliau sehingga ke nafas yang terakhir.

Terima kasih Tuan Haji Suhaimi Said.  Jasamu tetap ku kenang semoga Allah merahmati Roh mu di sana dan ditempatkan bersama golongan pejuang Islam dan Solehah.  AL FATIHAH.

KAMARZAMAN MOHAMED YUNUS
Setiausaha
PKR Pahang



 

1 comment: