Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah yang Maha Besar. Nyawa dan kedudukan di dunia ini hanya pinjaman semata-mata.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli PKR Cabang Paya Besar yang telah meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan demokrasi di dalam pemilihan kepimpinan parti di peringkat Cabang dan Pusat yang telah diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan pada 31 Mei 2014 baru-baru ini.
Namun demikian, saya merasa kecewa dan terkilan kerana tidak dapat menghadirkan diri di dalam pemilihan pada hari tersebut kerana terpaksa menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat di Raub yang amat-amat memerlukan kehadiran keluarga kami. Walaupun saya di antara dua calon yang bertanding sebagai Ketua Cabang Paya Besar, dan terpaksa menerima risiko kehilangan undi dari keluara kami, namun ianya tidak dapat dielakkan cuma saya sentiasa berdoa agar pemilihan dapat berjalan di dalam suasana penuh disiplin, teratur dan harmoni.
Alhamdulillah, saya telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli untuk memikul amanah mengetuai Cabang Paya Besar untuk penggal dan sesi kali ini. Jawatan Ketua Cabang dan semua jawatan lain belum dimuktamadkan sehingga JPP membuat pengumuman resmi. Terima kasih kepada mereka yang telah memilih saya sebagai Ketua Cabang, tahniah juga kepada sahabat saya Sdr Jefri yang turut menawarkan diri untuk memikul amanah ini kerana meraikan demokrasi dan memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan. Harus diingat, sesiapa pun yang mereka pilih, menang atau tewas, mereka adalah ahli parti dan akan bersama kita semua untuk berdepan dengan musuh utama kita iaitu Umno/Bn.
Saya insaf atas tanggungjawab ini dan berjanji akan bekerja sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi prestasi PKR Paya Besar sebagai persediaan kita menghadapi PRU 14 nanti, InsyaAllah. Seandainya sepanjang kempen pemilihan berlangsung, sekiranya ada kata-kata atau perbuatan dan salah silap dari saya mahupun dari rakan-rakan, saya menyusun jari mohon kemaafan.
Marilah kita bersatu di dalam jamaah Cabang ini. Tegurlah saya sekiranya terkhilaf kerana tiada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Namun sebagai ahli parti kita harus ada disiplin dan kekuatan diri untuk menegur secara baik tanpa melanggar adab dan etika parti. Gunakan ruang yang ada di dalam parti untuk menegur dan mengkritik parti mahupun mana-mana pemimpin kerana musuh sentiasa mencari ruang untuk menyerang kita.
Kerjasama semua AJK dan rakan-rakan ahli PKR Cabang Paya Besar amat-amat diperlukan untuk kita sama-sama menaikkan prestasi Cabang kita ini.
Sekian, terima kasih.
KAMARZAMAN BIN MOHAMAD YUNUS